KHAZANAH BALAI

  • YANG DI-PERTUAN NEGERI KELANTAN

    Klik di setiap nama untuk maklumat lanjut

    Sultan Muhammad V (Tengku Muhammad Faris Petra) (2010-sekarang)

    Sultan Muhammad V, sebelum dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan, dikenali dengan nama Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra. Baginda dilantik sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan pada bulan Oktober 1985. Baginda dilahirkan pada 6 Oktober 1969 dan merupakan putera sulung kepada KDYMM Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Yang Maha Mulia Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid. Pada 24 Mei 2009 Baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan, manakala pada 13 September 2010 bersamaan dengan 4 Syawal 1431H pula, Baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Darulnaim dengan gelaran Sultan Muhammad V. Seterusnya pada tanggal 13 Disember 2011, Sultan Muhammad V telah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14.

    Baginda Sultan Muhammad V merupakan raja pemerintah bagi negeri Kelantan Darulnaim dan jajahan takluknya. Dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja kali ke-243 (khas) di Istana Negara, Sultan Muhammad V dilantik sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15. Istiadat lafaz sumpah jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 ini telah disempurnakan pada 13 Disember 2016 bersamaan 13 Rabiulawal 1438H, hari Selasa, jam 12.00 tengah hari di Istana Negara, Kuala Lumpur, manakala Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 pula disempurnakan pada 24 April 2017 bersamaan 27 Rejab 1438H, hari Isnin, jam 10.00 pagi di Istana Negara, Kuala Lumpur. Pemilihan dan pelantikan Baginda sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan amalan demokrasi berparlimen sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Sultan Muhammad V mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail Satu, Kota Bharu mulai tahun 1976. Sepanjang masa persekolahan itu, Baginda sentiasa terpilih menjadi Ketua Darjah. Sewaktu Baginda berada dalam Darjah Enam, Baginda menjadi pilihan warga sekolah tersebut apabila Baginda dilantik sebagai Ketua Pengawas. Ketika Peperiksaan Penilaian Darjah Lima pada tahun 1980, Baginda mendapat keputusan cemerlang, iaitu 5A. Berikutnya, pada tahun 1981, Baginda telah berjaya menggondol Piala Pusingan Pelajar Terbaik sekolah. Sangat jelas dalam hal ini bahawa bakat kepimpinan Baginda sudah terserlah ketika zaman awal persekolahan lagi.

    Baginda juga telah mendapat asuhan dan didikan ilmu keagamaan sejak kecil. Ini terbukti apabila Baginda telah khatam al-Quran pada usia yang masih muda. Selepas tamat belajar di peringkat rendah, Baginda melanjutkan pelajarannya di Alice Smith School Association, Jalan Balleyns, Kuala Lumpur(Sekolah Antarabangsa Alice Smith, Kuala Lumpur) di dalam Kelas Persediaan sehingga tamat. Oleh kerana minat dan kegigihan Baginda yang mendalam terhadap ilmu dan pendidikan, maka pada bulan September 1984 Baginda telah melanjutkan pelajaran di Oakham School Ruthland, England. Di sana Baginda terus berada di peringkat Tingkatan 3 dan seterusnya ke peringkat ‘A Level’ pada tahun 1987. Baginda amat cergas berpersatuan dan terlibat dalam ‘Duke of Edinburgh Award’ yang merupakan sebuah badan persatuan yang terkemuka di Oakham School Ruthland. Baginda berjaya menamatkan pelajaran di Oakham School Ruthland pada tahun 1989.

    Seterusnya, Baginda melanjutkan pengajiannya dalam bidang Pengajian Diplomatik (Diplomatic Studies) di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam (Islamic Studies) di Oxford sehingga tahun 1991. Sementara itu, pada bulan Disember 1990, Baginda turut mengikuti Kursus Diplomatic Relations di Deustche Stiflung Entwicklung, Berlin. Selepas itu, Baginda meneruskan pengajiannya di European Business School di England dalam bidang European Business Administration. Oleh kerana pengajian Baginda memerlukan penguasaan beberapa bahasa Eropah, maka Baginda telah berangkat ke Nice, Selatan Perancis, bagi mendalami bahasa Perancis. Di samping itu, Baginda juga boleh berbahasa Jerman. Baginda kini telah mendapat Ijazah Humanity And Finance dari Huron University.

    Sultan Muhammad V seorang yang merendah diri, peramah dan sangat mengambil berat akan perihal rakyat di negeri Kelantan. Baginda banyak melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan, keagamaan dan menjadi kelaziman Baginda menziarahi rakyat yang ditimpa musibah dan berada dalam kemiskinan. Sikap Baginda yang prihatin dan mempunyai karisma yang tersendiri menjadi bualan rakyat kebanyakan atau golongan marhaen, terutama golongan yang pernah mendapat sentuhan peribadi Baginda. Pada waktu musibah banjir di Kelantan pada tahun 2014, Baginda Sultan telah turut membantu mangsa banjir di beberapa kawasan. Pegangan agama yang kuat dalam diri Baginda juga terserlah dan ini dapat dilihat melalui penampilan tersendiri Baginda yang kerap kali mencemar duli menghadiri majlis ilmu dan pelbagai program di masjid. Keadaan ini juga dapat dibuktikan melalui perisytiharan yang dititahkan oleh Baginda selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan supaya seruan “Daulat Tuanku” digantikan buat pertama kali dengan seruan “Allahu Akbar”.

    Sultan Ismail Petra (Tengku Ismail Petra) (1979-2010)

    Pada zaman pemerintahan Baginda Tuanku Ismail Petra, usaha-usaha membangunkan negeri dan mendaulatkan Islam terus diperhebat. Salah satu undang-undang penting yang diperkenalkan pada tahun 1984 ialah Enakmen Keluarga Islam yang telah berjaya mengurangkan angka-angka perceraian di negeri ini. Projek-projek pembangunan fizikal keagamaan juga turut dipertingkatkan dari semasa ke semasa, seperti pembinaan masjid, surau, madrasah, pusat-pusat pengajian tinggi, Mahkamah Syariah, rumah-rumah Kadhi, dan Kompleks Balai Islam yang semuanya menuju ke arah pembangunan kerohanian ummah. Selain itu, Yayasan Islam Kelantan (YIK), sebuah agensi agama yang penting selepas MAIK dan JAHEIK, telah juga ditubuhkan pada tahun 1983 dengan ampuni perkenan Baginda.

    Sultan Yahya Petra (Tengku Yahya Petra) (1960-1979)

    Berbagai-bagai kemajuan telah dicapai pada zaman pemerintahan Baginda, baik dalam bidang pertanian, perdagangan, kebudayaan maupun agama. Pada zaman pemerintahan Baginda, Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) ditubuhkan pada tahun 1965 dengan tujuan utama untuk meninggikan syiar Islam menerusi pendidikan. Sultan Yahya Petra telah memperkenankan Istana Nilam Puri yang dibina pada tahun 1927 oleh al-Marhum Sultan Ismail dijadikan bangunan pertama pusat pengajian itu. Selepas terbentuknya Kerajaan Campuran PAS-PERIKATAN dan kemudiannya Barisan Nasional, PPTIK yang kemudiannya berubah nama kepada Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) telah diletakkan di bawah Universiti Malaya, dan dikenali dengan nama Akademi Islam Universiti Malaya (sekarang APIUM).

    Selain itu, bagi tujuan untuk melicinkan lagi pengajian dan pentadbiran Sekolah-sekolah Agama di negeri ini, Sultan Yahya Petra telah berkenan supaya ditubuhkan sebuah Jabatan yang dikenali dengan nama “Jabatan Sekolah-sekolah Agama Kelantan” atau JASA bagi menangani sekolah-sekolah agama yang diambil alih oleh kerajaan negeri dari MAIK pada 1 Julai 1976. Satu langkah besar lain yang dilakukan oleh Kerajaan Baginda pada masa itu, yang menjadi kenangan sepanjang zaman, ialah penubuhan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) pada tahun 1979. Penubuhan jabatan ini adalah satu langkah ke hadapan dalam upaya menaikkan taraf pentadbiran Islam di negeri Kelantan yang sebelumnya hanya wujud dalam bentuk sebuah bahagian - Bahagian Agama - sahaja di pejabat SUK. Baginda merupakan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-6 yang telah dimasyhurkan pada 21 September 1975. Baginda mangkat pada 29 Mac 1979 ketika masih berkhidmat sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

    Sultan Ibrahim (Tengku Ibrahim) (1944-1960)

    Baginda mewarisi pemerintahan dalam zaman yang penuh kemelaratan akibat Perang Dunia Kedua. Beberapa peristiwa penting dan bersejarah yang menghambat kemajuan telah berlaku di sepanjang pemerintahan Baginda. Selepas Jepun tewas pada bulan Ogos 1945, Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu, dan meletakkan negara ini di bawah Pentadbiran Tentera British (British Military Administration-BMA), termasuk negeri Kelantan. Kemudian meletus pula krisis Malayan Union pada tahun 1946 yang menyaksikan seluruh Tanah Melayu dan Negeri-negeri Selat diletakkan di bawah kekuasaan British. Oleh sebab peristiwa Malayan Union inilah, maka buat pertama kalinya, orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu telah bersatu dan berganding bahu menentang penubuhannnya. Selepas Malayan Union digulingkan, lahir pula Persekutuan Tanah Melayu, di mana negeri Kelantan menjadi sebahagian daripadanya, iaitu setelah dimeteraikan perjanjian antara Raja-raja Melayu dengan Kerajaan British, dikenali dengan nama Perjanjian 1948 dan akhirnya diikuti dengan kelahiran Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada tahun 1957. Semua peristiwa-peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Baginda.

    Patut dicatat, bahawa pada zaman Baginda, iaitu pada tahun 1957 Sekolah Arab Naim Lil Banat telah dibina dan dibuka di Kampung Langgar, Kota Bharu dengan menelan kos sebanyak RM80,000.00. Ia merupakan salah sebuah Sekolah Arab Puteri yang terbesar pada waktu itu dengan pelajarnya datang dari dalam dan luar negeri, termasuk dari wilayah-wilayah Selatan Thailand. Pada tahun 1959 pula, Sekolah Menengah Arab Saniah Pasir Puteh siap dibina dengan menelan kos sebanyak RM150,000.00.

    Sultan Ismail (Tengku Ismail) (1920-1944)

    Baginda Sultan Ismail amat prihatin terhadap kemajuan negeri, baik dalam bidang pentadbiran, pelajaran dan juga kemasyarakatan. Menyedari pelajaran dan pendidikan itu amat penting, maka Baginda telah menitahkan supaya dibina sekolah-sekolah di merata-rata jajahan dan pekan-pekan yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai. Sebuah sekolah Inggeris telah didirikan di Kota Bharu pada tahun 1936, dikenali dengan nama Sultan Ismail College atau Sekolah Inggeris Ismail, iaitu Sekolah Inggeris yang julung-julung kali pernah didirikan di negeri ini. Sekolah ini kemudiannya dikenali dengan nama Maktab Sultan Ismail (SIC), mengambil sempena nama Baginda.

    Pada zaman Baginda juga masjid lama (Kota Bharu) yang dibina daripada kayu telah digantikan dengan bangunan baru yang diperbuat dari batu. Pada 21 Ogos 1922, telah diadakan istiadat peletakan batu asas dengan disempurnakan oleh Baginda sendiri. Kemudian pada 31 Julai 1931 pula, Baginda sekali lagi berangkat merasmikannya, yakni “membuka bagi permulaan pakai masjid ini dengan menunaikan sembahyang Jumaat”. Masjid ini kemudian diberi nama Masjid Muhammadi, mengambil sempena nama al-Marhum Sultan Muhammad IV yang begitu besar jasanya kepada perkembangan Islam di negeri ini. Selain itu, pada zaman pemerintahan Baginda juga muncul beberapa pertubuhan orang Melayu seperti Setia Kelab yang lahir pada 14 Disember 1922, Setiawan Belia (11 Oktober 1931), Dewan Bahasa Melayu Kelantan (10 Oktober 1933) dan lain-lain.

    Sultan Muhammad IV (Long Senik) (1900-1920)

    Pada zaman pemerintahan Baginda Sultan Muhammad IV pondok-pondok tempat belajar agama semakin banyak didirikan. Pelajar-pelajarnya bukan sahaja datang dari Kelantan, tetapi juga dari luar negeri, iaitu dari rantau Asia Tenggara, terutama dari Patani, Kamboja dan Sumatera Timur, (seperti Deli, Mandiling, Jambi, Kampar, dan Siak). Pada masa yang sama, kerajaan negeri telah menggalakkan pelajar-pelajar Islam di negeri ini melanjutkan pelajaran tinggi mereka ke merata-rata tempat, termasuk di Timur Tengah, terutama Mekah dan Mesir. Selain itu, menjadi salah satu jasa besar Sultan Muhammad IV juga ialah penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang merupakan sebuah badan yang berperanan besar dalam bidang pentadbiran dan pembangunan Islam di negeri ini.

    Sultan Muhammad I (Long Muhammad) (1801 - 1837)

    Baginda sangat prihatin dengan perkembangan Agama Islam di negeri ini. Baginda banyak melakukan khairat atau kebajikan di dalam dan di luar negeri, seperti mendirikan rumah-rumah wakaf di Mekah, Madinah dan Jeddah untuk faedah rakyat Kelantan dan umat Islam yang berangkat menunaikan ibadat Haji. Baginda Sultan Muhammad I mempunyai seorang penasihat agama yang terkenal bernama Syeikh Abdul Halim, seorang muallim agama yang telah berkhidmat sejak zaman pemerintahan ayahanda Baginda - Long Yunus - lagi.

    Sultan Muhammad II (Tuan Senik Mulut Merah)(1838-1886)

    Pada zaman pemerintahan Baginda, syiar Islam semakin terserlah. Baginda mengenakan hukuman potong tangan kepada pencuri yang didapati bersalah dan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas orang yang didapati bersalah kerana membunuh, kecuali apabila diminta oleh keluarga si mati supaya hukuman itu diringankan. Selain itu, Baginda Sultan Muhammad II juga telah menitahkan supaya dibina sebuah masjid kayu yang besar di tengah-tengah bandar Kota Bharu pada tahun 1867, menggantikan masjid lama yang telah roboh akibat bencana banjir. Masjid ini kemudiannya berkembang menjadi Masjid Muhammadi pada 1931, dan terus hidup dan berfungsi sehingga sekarang. Hal yang sama selepasnya dipraktikan pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad dan Sultan Muhammad III (Long Kundur) selepasnya. Namun, pada zaman ini, tidak banyak perubahan dapat dilakukan kerana hayat pemerintahan Baginda berdua yang singkat.

    Sultan Mansur (Long Mansur) (1891-1900)

    Baginda seorang Sultan yang warak, berjiwa besar dan progresif. Baginda tidak suka melihat berlakunya perbuatan yang bercanggah dengan hukum Islam yang suci. Baginda tidak suka melihat rakyat memakai pakaian yang tidak kemas dan tidak menutup aurat. Bagi mempastikan peraturan ini dipatuhi, Baginda telah meletakkan panglima-panglima dan hulubalang-hulubalang negeri berkawal di simpang-simpang jalan dengan membawa baldi yang berisi belaking, iaitu sejenis cat berwarna hitam. Sesiapa yang didapati melanggar peraturan pakaian yang ditetapkan, tubuh mereka akan disapu dengan belaking dan kerisnya dirampas. Dengan cara tersebut peraturan itu telah dapat dilaksanakan dengan baik.

    Long Yunus - Yang Di-Pertuan Kelantan (1765 - 1795)

    Selepas mengalahkan Long Pandak, Long Yunus telah mengisytiharkan dirinya menjadi Yang Di-Pertuan Kelantan di Kota Kubang Labu pada tahun 1765. Dengan pelantikan Long Yunus menjadi Yang Di-Pertuan Kelantan, maka suatu era baharu dalam sejarah negeri Kelantan telah bermula. Negeri Kelantan yang lama yang pernah terpecah kepada dua bahagian barat dan timur, telah berakhir, sebagaimana juga berakhirnya pengaruh Patani dan Legeh ke atas Kelantan. Kelantan yang muncul di bawah pemerintahan Long Yunus sekarang ialah sebuah negeri Kelantan yang bersatu dan bebas daripada mana-mana pengaruh dan kekal berada dalam sebuah keluarga atau dinasti - Dinasti Long Yunus - yang berlanjutan sehingga sekarang.

  • YANG DIPERTUA MAIK

    YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz

    YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz
    (19 Mac 2019 - Sekarang)

    YTM Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra

    YTM Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra
    21 Jun 2009 – 18 Mac 2019

    YAB Dato’ Haji Wan Mohamad bin Wan Konok

    YAB Dato’ Haji Wan Mohamad bin Wan Konok
    14 Mac 1999 –20 Jun 2009

    YAB Dato’ Haji Abdul Razak bin Salleh

    YAB Dato’ Haji Abdul Razak bin Salleh
    15 November 1991 – 13 Mac 1999

    YB Dato’ Haji Nik Sulaiman bin Dato’ Haji Nik Daud

    YB Dato’ Haji Nik Sulaiman bin Dato’ Haji Nik Daud
    1 Julai 1981 – 30 Jun 1991

    YB Dato’ Haji Nik Ishak bin Dato’ Haji Nik Daud (pemangku)

    YB Dato’ Haji Nik Ishak bin Dato’ Haji Nik Daud (pemangku)
    1 Februari 1981 – 1 Julai 1981

    YBhg. Dato’ Haji Nor bin Zainal

    YBhg. Dato’ Haji Nor bin Zainal
    1 Jun 1979 – 1 Februari 1981

    YB Dato’ Haji Nik Mahmood bin Nik Daud (pemangku)

    YB Dato’ Haji Nik Mahmood bin Nik Daud (pemangku)
    1 Jun 1975 – 31 Mei 1979

    YBM Tengku Abdul Aziz bin Tengku Hamzah

    YBM Tengku Abdul Aziz bin Tengku Hamzah
    1 Januari 1967 – 31 Mei 1975

    YBhg. Dato’ Haji Muhammad Yusoff bin Hassan

    YBhg. Dato’ Haji Muhammad Yusoff bin Hassan
    1 Januari 1965 –31 Disember 1966)/center>

    YBhg. Dato’ Haji Muhammad Saleh bin Umar

    YBhg. Dato’ Haji Muhammad Saleh bin Umar
    16 September 1960–31 Disember 1964

    Sahib al-Samahah Dato’ Haji Ahmad Maher bin Ismail (pemangku)

    Sahib al-Samahah Dato’ Haji Ahmad Maher bin Ismail (pemangku)
    7 Jun 1955 –16 September 1960

    YBM Tengku Ahmad bin Tengku Abdul Ghaffar

    YBM Tengku Ahmad bin Tengku Abdul Ghaffar
    15 Disember 1954 – 1 Jun 1955

    YBhg. Dato’ Nik Ahmad bin Haji Nik Mahmood

    YBhg. Dato’ Nik Ahmad bin Haji Nik Mahmood
    1 Januari 1954 – 1 Disember 1954

    YTM Tengku Yahya Petra ibni Sultan Ibrahim

    YTM Tengku Yahya Petra ibni Sultan Ibrahim
    1 januari 1948 – 31 Disember 1953

    YTM Tengku Indra Petra Ibni Sultan Ibrahim

    YTM Tengku Indra Petra Ibni Sultan Ibrahim
    12 Disember 1944-29 November 1947

    YTM Tengku Ibrahim ibni Sultan Muhammad IV

    YTM Tengku Ibrahim ibni Sultan Muhammad IV
    1919-1944

    YM Tengku Muda Hassan bin Tengku Mahmood

    YM Tengku Muda Hassan bin Tengku Mahmood
    1915 - 1919

  • TIMBALAN YANG DIPERTUA MAIK

    Yang Berbahagia Haji Zulkifle bin Ab Rahman

    Yang Berbahagia Haji Zulkifle bin Ab Rahman
    1 Julai 2019 - sekarang

    Yang Berbahagia Dr. Haji Nik Mohd Azlan bin Abd Hadi

    Yang Berbahagia Dr. Haji Nik Mohd Azlan bin Abd Hadi
    14 Januari 2017 – 30 Jun 2019

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Serpudin bin Mohamad

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Serpudin bin Mohamad
    Y14 Oktober 2014 – 12 Januari 2017)/center>

    Yang Berbahagia Dato’ Nik Kamaruddin bin Ismail

    Yang Berbahagia Dato’ Nik Kamaruddin bin Ismail
    31 Julai 2014 – 13 Oktober 2014

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Kamaruddin bin Md Zin

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Kamaruddin bin Md Zin
    Y1 Julai 2007 – 31 Mac 2014

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Yusoff bin Ismail

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Yusoff bin Ismail
    1 Julai 2000 – 30 Jun 2007

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Ashaari Azmi bin Haji Abdullah

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Ashaari Azmi bin Haji Abdullah
    1 Oktober 1995 – 30 Jun 2000

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Nik Ishak bin Dato’ Haji Nik Daud

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Nik Ishak bin Dato’ Haji Nik Daud
    1 Oktober 1989 – 30 Jun 1995

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Razak bin Salleh

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Razak bin Salleh
    1987 – 1989

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Ariffin bin Daud

    Yang Berbahagia Dato’ Haji Ariffin bin Daud
    1 Disember 1985 – 1987

    Yang Berbahagia Dato’ Kaya Muda Haji Nik Abdullah bin Haji Nik Hassin

    Yang Berbahagia Dato’ Kaya Muda Haji Nik Abdullah bin Haji Nik Hassin
    1 Januari 1965 – tidak diketahui

    Yang Berbahagia Dato’ Bentara Muda Haji Muhammad Yusoff Hassan

    Yang Berbahagia Dato’ Bentara Muda Haji Muhammad Yusoff Hassan
    1 Januari 1964 – 31 Disember 1964

    Yang Berbahagia Haji Nik Abdullah bin Nik Hasin

    Yang Berbahagia Haji Nik Abdullah bin Nik Hasin
    1 Disember 1956 – tidak diketahui

    Yang Berbahagia Dato’ Seri Amar Diraja Nik Mustapha Fathil

    Yang Berbahagia Dato’ Seri Amar Diraja Nik Mustapha Fathil
    12 Januari 1952 – 1 Mei 1953

    Yang Berbahagia Tengku Mahmood Mahyiddeen bin Tengku Abd Kadir

    Yang Berbahagia Tengku Mahmood Mahyiddeen bin Tengku Abd Kadir
    1 Julai 1948 – 1 Januari 1952

    Yang Berbahagia Dato’ Bentara Jaya Haji Muhammad

    Yang Berbahagia Dato’ Bentara Jaya Haji Muhammad
    13 Ogos 1919 – 1 Disember 1933

    Yang Berbahagia Dato’ Bentara Setia Haji Nik Mahmud

    Yang Berbahagia Dato’ Bentara Setia Haji Nik Mahmud
    24 Disember 1915 – 1919

  • ULAMA'-ULAMA' KELANTAN

    • Tok Kenali (1870-1933)
    • Tok Bachok (1868-1953)
    • Haji Yaakub Legor (1892-1971)
    • Syeikh Osman Jalaluddin (1880-1952)
    • Tok Wan Ali Kutan (1837-1913)
    • Haji Sa’ad Kangkong (1893-1943)
    • Maulana Abdullah Nuh (1905-1947)
    • Tok Guru Haji Wan Adam (1909-1957)
    • Haji Yaakub Gajah Mati (1895-1956)
    • Tok Selehor @ Tok Selehong (1872-1935)
    • Haji Abdullah Tahir Bunut Payong (1897-1961)
    • Haji Mat Pauh (Haji Muhammad Jambu) (1905-1973)
    • Dato' Haji Ahmad Maher al-Zahari (1904-1968)
    • Haji Ali Pulau Pisang (1899-1968)
    • Haji Awang Lambor (1900-1963)
    • Haji Umar Banggol Kulim (1882-1962)
    • Haji Husain Rahimi (1919-1971)
    • Haji Ismail bin Haji Abdul Majid (1880-1952)
    • Haji Nik Abdul Rahman Nik Kub (1910-1960)
    • Haji Nik Man Khatib (1911-1968)
    • Haji Omar Sungai Keladi (1867-1946)
    • Dato’ Haji Mohd Nor Ibrahim (1905-1987)
    • Tok Kenali (1870-1933)

      Tok Kenali (1870-1933)

      Nama sebenarnya ialah Haji Muhammad Yusof bin Ahmad. Lahir di Kubang Kerian, Kelantan. Beliau terkenal dengan nama Tok Kenali, dan juga Haji Awang Kenali. Mendapat pendidikan awal di Kota Bharu, berguru dengan Tuan Tabal @ Haji Abdul Samad, Haji Ismail Kadi, Haji Abdullah Pasir Pekan, Haji Awang @ Muhammad Zain Atas Banggol, Haji Nik Abdullah, Haji Nik Wan Daud, Haji Wan Tamat Lundang, Haji Abdul Malik Sungai Pinang dan Haji Pak Chik Musa.

      Pada akhir tahun 1887, Tok Kenali melanjutkkan pelajaran ke Mekah. Antara gurunya di sana ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani, Syeikh Muhammad Hasbullah, Sayyid Bakri Syata, Syeikh Muhammad bin Yusof al-Khayyat, Syeikh ‘Abid (Mufti al-Hanafiah) dan Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabawi. Pada pertengahan tahun 1904, dia mengiringi gurunya Syeikh Wan Ahmad berkunjung sambil belajar ke Mesir, Syria dan tempat-tempat lain di Timur Tengah. Pada awal tahun 1909, dia pulang ke tanah air lalu membuka sekolah pondok di Kampung Paya kemudian mengajar di Masjid Besar Kota Bharu (kini Masjid Muhammadi) sebelum berpindah ke Kampung Belukar mengajar Tatabahasa Arab, Tafsir al-Qur’an, Tauhid, Fikah, Tasawuf, Ilmu Kerohanian dan Perubatan. Pondok di Kampung Paya dan Belukar ini terletak dalam Mukim Kenali, lalu kedua-duanya disebut sebagai Pondok Kenali.

      Tok Kenali juga bergiat cerdas dalam kegiatan pentadbiran dan kemasyarakatan. Beliau mempelopori penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (1915) serta menjadi anggotanya; Anggota Jemaah Ulama MAJLIS (1918), pengasas dan pengarang kehormat, juga selaku penasihat kepada penerbitan Majalah Pengasuh (1918), perintis al-Jami’iyyah al-‘Asriyyah di Kota Bharu (1924), Penolong Mufti (1929), menterjemah sebahagian Tafsir al-Khazin dan kitab al-Umm (1929/1930), Ketua Pelajaran Agama di Masjid Muhammadi dan Madrasah al-Muhammadiah (Januari 1931 sehingga Februari 1933). Tulisannya banyak tersiar dalam Pengasuh dan Al-Hidayah.

      Tok Kenali amat berpengaruh dalam masyarakat Kelantan khasnya, dan Kepulauan Melayu umumnya. Hal ini dapat dilihat menerusi sumbangan dan kejayaan beliau dalam melahirkan angkatan ulama’, pendakwah dan intelektual yang mempunyai keahlian dalam pelbagai bidang pengajian di Asia Tenggara pada pertengahan abad ke-20. Antaranya ialah Haji Abdullah Tahir Bunut Payong; Haji Ali Salahuddin Pulau Pisang; Syeikh Uthman Jalaluddin Seberang Perai; Syeikh Anjon Asahan, Sumatera Timur; Haji Yaakub Legor Thailand; Dato’ Haji Ahmad Maher al-Azhari, (Mufti Kerajaan Kelantan); Dato’ Haji Ismail Yusuf (Mufti Kerajaan Melaka); dan Dato’ Haji Hasan Yunus (Menteri Besar Johor).

      Tok Kenali meninggal dunia pada 19hb. November 1933 ketika berusia 65 tahun dan dimakamkan di Kubang Kerian, Kelantan. Sebagai memperingati jasanya, Tok Kenali mendapat penghormatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai tokoh Ulama Silam (1977/1978)

    • Tok Bachok (1868-1953)

      Tok Bachok (1868-1953)

      Nama sebenar Tok Bachok ialah Haji Osman bin Haji Muhammad bin Haji Abdul Wahhab. Ibunya bernama Mek Nik. Beliau dilahirkan di Kampung Tok Burong di barat Bandar Bachok sekarang di tebing sebuah anak sungai yang jernih airnya. Tiupan angin laut yang sepoi dan heningan air sungai itu menjadi Tok Bachok beroleh banyak ilham untuk menjadi ulama’ yang masyhur.

      Anak kecil yang bertuah itu diasuh dan dididik oleh ayahnya dengan didikan ugama, mengaji al-Quran dan membawanya berkunjung ke tempat-tempat pengajaran ugama untuk menyuburkan rasa cintanya terhadap ugama. Dan setelah berumur belasan tahun beliau dihantar oleh ayahnya belajar di Kota Bharu kepada Tuan Guru Pak Chik Musa dan Haji Daud Kampung Menuang.

      Setelah beberapa tahun di Kota Bharu beliau belum berpuas hati, sebab itu beliau menyambung pengajiannya ke Patani dan tinggal di Pondok Kuala Bekah. Di sinilah tempat tumpuan kebanyakan para pelajar dari Kelantan, termasuk juga Tok Selehong. Di sana jugalah mereka berkenal-kenalan dan berkawan baik. Haji Osman menghabiskan masanya di Patani selama kira-kira enam tahun.

      Walaupun kembali ke Kelantan setelah belajar di Patani itu beliau masih belum merasa puas, dan merasa begitu dangkal ilmu yang ada padanya. Sebab itu sekali lagi beliau tepaksa meninggalkan negeri Kelantan untuk menyambung pelajarannya di Makkah. Di sana beliau bertemu dengan gurunya di Kelantan dulu, Haji Daud dan belajar pula di sana, di samping mendalami ilmu dengan guru-guru yang lain.

      Mengikut kenyataan anaknya, Haji Muhammad Amin bahawa ayahnya belajar di Makkah kira-kira lima belas tahun, dan kembali ke Kelantan dalam usia kira-kira empat puluh tahun.

      Apabila kembali ke Kelantan, Tok Bachok membuka pondok sebagaimana ulama’-ulama’ Kelantan lain yang aktif pada zaman lampau – masing-masing membuka pondok apabila tamat pengajian di Makkah untuk menyebarkan dakwah Islamiah kepada penduduk-penduduk, khususnya di kampung masing-masing. Mereka mengajar secara ikhlas tanpa mempersoalkan tentang gaji atau sumbangan masyarakat kepada mereka. Mereka hanya mengharapkan pahala daripada Allah s.w.t. Namun demikian, di kalangan ulama’-ulama’ yang hidup seperti ini, tidak ada pun yang miskin – mereka hidup sederhana sekali.

      Tok Bachok juga terkenal bijak dalam bidang ilmu bacaan al-Quran, nahu dan tasawuf. Beliau tidak begitu ta’sub kepada mazhab tertentu. Kitab Hikam, sebuah kitab tasawuf yang penting itu, dijadikan buku rujukan dan diajar pula kepada para muridnya.

      Tegasnya, Tok Bachok adalah ulama’ yang ahli dalam banyak bidang ilmu ugama yang melayakkan beliau memegang jawatan Mufti negeri Kelantan pada masa itu.

      Tok Bachok pernah ditawar menjadi Mufti negeri Kelantan tetapi beliau enggan, sebaliknya berkata: “Orang alim sukar untuk mempengaruhi pihak yang berkuasa, sebaliknya pihak yang berkuasalah yang dapat menarik orang-orang alim mengikut kehendaknya”.

      Setelah berjuang berpuluh-puluh tahun untuk mengembangkan ajaran-ajaran Islam maka pada malam Ahad jam 1.05 malam 15 Zulkaedah 1372 bersamaan 27 Julai, 1953, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk kembali menemui Allah. Pejuang-pejuang ugama akan dibangkit untuk menerima pembalasan yang baik daripada Allah dengan sebaik-baik balasan. Jenazahnya dikebumikan di tanahnya sendiri, kemudian dijadikan wakaf perkuburan pekan Bachok.

    • Haji Yaakub Legor (1892-1971)

      Haji Yaakub Legor (1892-1971)

      Haji Yaakub Legor ialah Haji Yaakub bin Ismail bin Abdul Rahman,Beliau dilahikan pada hari Jumaat dalam bulan Mac 1892 di pekan Melayu Ban Mai Telak Keak, Nakhon Si Thammarat di Legor Siam.Seorang ulama’ yang bukan dilahirkan di Kelantan tetapi belajar dan berkahwin di Kelantan serta banyak memberi sumbangan kepada negeri Kelantan iailah Haji Yaakub Legor.Beliau seorang guru dan ulama’ yang disanjung tinggi pada zamannya.

      Setelah berumur tujuh tahun beliau diajar mengaji Al-Quran. Ketika berumur kira-kira sepuluh tahun beliau telah khatam Al-Quran oleh kerana rajin dan cergas otaknya. Untuk mendapat ilmu yang banyak Haji Yaakub menyambung pelajarannya ke Kenali di Kelantan bagi membolehkan belajar dengan Tok Kenali yang masyhur itu.Setelah mendapat dorongan itu serta dipersetujui pula oleh kedua-dua keluarganya beliau bertolak ke Kelantan, pada tahun 1913 iaitu ketika umurnya menjelang 21 tahun.Setelah lima tahun di Pondok Kenali, beliau telah menamatkan pengajiannya dan beliau telah dibawa oleh Tok Kenali untuk mengajar di Masjid Muhammadi, kerana disinilah pusat penyeberan ilmu-ilmu islam ketika itu.

      Sewaktu diberi tugas mengajar di Masjid Muhammadi (mulai 1hb. Mei 1919) adalah termasuk salah seorang guru utama di samping Tok Kenali dan lain-lain ulama’ besar pada zaman itu. Ketika berada di Kota Bharu dalam suasana pengembangan ilmu pengetahuan Islam yang sedang memuncak itu Haji Yaakub Legor menetap di Kelantan dan berkahwin dengan Hajah Fatimah anak Tuan Guru Haji Daud, iaitu guru kepada Tok Bachok, Haji Yaakub Gajah Mati dan Tok Kemuning.Beliau kemudian menetap di Kampung Menuang dan berulang-alik berjalan kaki dari Masjid ke rumahnya.

      Selepas 17 tahun berkhidmat sebagai guru di Masjid Muhammadi, maka pada 1hb. September 1936, beliau bersama-sama anak lelakinya, Haji Husain mula bercuti berangkat ke tanah suci. Dari Makkah, Haji Yaakub Legor terus pulang ke Legor setelah mendapat tahu bahawa pengajaran di Masjid Muhammadi mulai merosot akibat keadaan dunia sedang beradi di ambang peperangan besar. Sejak itu beliau menetap di Legor,mengajar ugama dan membuka pondok di sana pada tahun 1939, kata Tuan Haji Husain, anak sulungnya.

      Beliau meneruskan kerjaya keguruannya sehingga akhir hayatnya. Beliau meninggal dunia di Legor waktu dinihari, hari Ahad 20hb. Jun 1971,setelah mengidap penyakit darah tinggi. Beliau meninggalkan 18 orang anak.

    • Syeikh Osman Jalaluddin (1880-1952)

      Syeikh Osman Jalaluddin (1880-1952)

      Syeikh Osman Jalaluddin dilahirkan pada 1880M bersamaan tahun 1297 di Kampung Panjang, Daerah Sering, Kota Bharu. Bapanya , Muhammad bin Abdul Somad adalah seorang bomoh penyakit bertih, puru dan orang-orang gila. Beliau mulai belajar kitab jawi yang pertama dengan Haji Jamal Perupok.Beliau juga belajar dengan Haji Abdul Malik di Sungai Pinang dan lain-lain.Selepas beberapa tahun belajar, Syeikh Osman ingin melanjutkan pengajiannya ke kota ilmu Makkah. Untuk membiayai Syeikh Osman ke Makkah itu bapanya menjual padi dan kerbau.Setelah mendapat keizinan dari gurunya (Mufti Haji Wan Muhammad), beliau bertolak ke Makkah.

      Beliau kembali ke Kelantan setelah empat tahun di Makkah.Namun beliau belum berpuas hati lagi dengan ilmu yang ada padanya.Setelah Tok Kenali pulang dari Makkah, beliau belajar di Pondoknya.Selepas itu beliau cuba membuka sekolah pondok sendiri di Pasir Kasar, Sering.Setelah 2 tahun Pondok itu mati.Syeikh Osman tidak putus-putus berulang-alik ke Pondok Kenali untuk menambahkan ilmu pengetahuannya. Setelah semua pondok yang dibuka itu gagal.Tok Kenali memberi nasihat kepadanya sebagaimana katanya.”Engkau pergilah belajar lagi, ilmu kamu belum cukup”.Atas nasihat itu maka Syeikh Osman berangkat ke Makkah sekali lagi.

      Syeikh Osman belajar hadith dan tafsir dengan Syeikh Omar Hamdan dan Syeikh Ali Maliki. Belajar ilmu fiqh kepada Syeikh Said Yamani (Mufti Shafi’I di Makkah).Beliau pernah memberi pesanan kepada murid-muridnya supaya beramal dengan ilmu yang dipelajari kerana dunia hampir kiamat.Setelah berjuang dengan gigihnya untuk menyebarkan ajaran-ajaran Islam di Makkah dan di seluruh Malaysia maka pada 30 Zulhijjah tahun 1371 bersamaan waktu subuh dalam usianya 72 tahun. Jenazahnya dimaqamkan di Haudh-al Naqsyabandi, berhampiran dengan maqam Syeikh Muhammad Mukhtar ‘Atarid, guru panutanya.Walaupun beliau telah meninggal dunia tetapi ilmunya tetap berkembang dan Madrasah di Penanti muncul telah menjadi sebuah sekolah yang melahirkan ramai tokoh ugama terbilang.

    • Tok Wan Ali Kutan (1837-1913)

      Tok Wan Ali Kutan (1837-1913)

      Tidak jauh dari Kota Kubang Labu, di tebing Sungai Kelantan lahir seorang bayi yang masih suci bersih kira-kira dalam tahun 1253H (1837M). Ia dibasuh dan dimandikan dengan air sungai yang menjadi nadi kemajuan Kelantan dan membawa tuah kepada rakyatnya. Kelahirannya seolah-olah terpancar sebuah bintang yang menyinari alam Kelantan dan alam Malaysia dari dakwah alim ulama’ yang pernah menjadi murid-muridnya dan hasil-hasil karyanya kerana cetusan ilham dari tawaf Kaabah dan meminum air zam-zam di Makkah al-Mukarramah yang penuh berkat itu.

      Bayi itu dinamakan Wan Ali yang beerti Wan yang tinggi. Beliau telah dibawa oleh ayahnya, Haji Abdul Rahman bin Abdul Ghafur ke Makkah al-Mukarramah ketika masih kecil lagi untuk diasuh dan dididik dengan didikan Islam agar benar-benar menjadi seorang ulama’ yang mempusakai para Nabi. Berkat doa dan cita-cita bapa dan kesungguhannya, Wan Ali telah mencapai taraf ulama’ yang menjadi tempat tumpuan para ulama’ dan para pelajar yang mengunjungi Makkah untuk mempelajari ugama, sama ada dari Kelantan khasnya atau dari Jawi (Malaysia, Patani, Indonesia) umumnya.

      Tok Wan Ali Kutan kemudian ikut mengajar di Masjid al-Haram, yang sememangnya terkenal sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan kepada seluruh pelajar yang datang dari negara-negara Islam. Tok Wan Ali mempunyai kebolehan dalam berbagai-bagai bidang ilmu, termasuk mengarang kitab. Beliau dapat menguasai bahasa Arab dan bahasa Melayu serta dapat pula menterjemahkannya. Kebolehannya tidak banyak berbeza dengan Syeikh Daud Patani.

      Oleh kerana kealimannya, Tok Kenali belajar dengannya di Makkah al-Mukarramah, begitu juga Tok Kemuning, Tok Jelapang, Tok Bachok, Haji Muhammad bin Muhammad Said Khatib (Dato’ Laksamana), Haji Nik Mahmud bin Ismail (Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja). Mereka kembali kemudiannya sebagai pelopor kemajuan, pembangunan dan alam penulisan di Kelantan, kerana Tok Kenali dan Dato’ Laksamana bertanggungjawab mengeluarkan majalah Pengasuh.

      Dato’ perdana Menteri Paduka Raja dan Dato’ Laksamana paling rapat dengan Tok Wan Ali. Mereka mempelajarinya banyak ilmu batin, doa dan wirid-wirid untuk mengawal diri dari sebarang ancaman, sehingga kesannya dapat dilihat pada kandungan buku karangan Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja, Pati Rahsia yang dicetak di Matba’ah al-Ahliyah, Kota Bharu.

      Tok Wan Ali yang sering mengajar di Masjid al-Haram itu sempat pula meninggalkan pusaka buku-buku yang dikarangnya kepada generasi kemudian. Buku-buku itu antaranya ialah : Jauhar al-Mauhub, Zuhrat al-Murid, Majma’ al-Qasa’id, Lum’at al-Aurad dan lain-lain.

      Tok Wan Ali adalah seorang ulama’ yang wara’, kuat beribadat, banyak mengamalkan ilmu-ilmu batin, suka menulis, tidak banyak tidur pada malam hari untuk sembahyang dan menulis. Beliau sangat tawadhu’ dan suka bersedekah.

      Walaupun Tok Wan Ali seorang ulama’ besar – salah seorang ulama’ pengarang perintis di Kelantan, beliau tidak lupa menyediakan bekal untuk hidup di dunia. Dengan sebab itu beliau telah membina rumah-rumah sewa, antaranya ialah : dua buah rumah wakaf di Makkah dan sebuah rumah wakaf di Taif.

      Ramai orang dari Kelantan pernah menjadi difnya. Rumah-rumah wakaf ini masih kekal sampai sekarang, menjadi bekal berpanjangan kepada anak cucunya.

      Selain dari Tok Wan Ali, antara mereka yang mempunyai rumah di Makkah ialah Haji Abdul Hamid (Haji Senik), iaitu ayah kepada Tok Kemuning, Haji Nuh Labok, Haji Wan Ali Pasir Pekan dan lain-lain.

      Setelah banyak menaburkan jasanya kepada masyarakat dan anak cucunya, dan sebagai dinamo untuk melahirkan ulama’ pengarang awal seperti Tok Kenali, Dato’ Laksamana, Dato’ Perdana dan Haji Omar Sungai Keladi beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1331H (1913M). Jenazahnya dikuburkan di Ma’ala Makkah al-Mukarramah. Allah tidak lupa melimpahkan rahmat kepada pejuang-pejuang Islam.

    • Haji Sa’ad Kangkong (1893-1943)

      Haji Sa’ad Kangkong (1893-1943)

      Haji Saad dilahirkan pada 1893M di Kampung Kangkong. Beliau mula belajar Al-Quran dengan ayahnya, Haji Daud dan kemudiaanya menyambung pula kepada Haji Mahmud bin Haji Ali, seorang guru Al-Quran di kampungnya. Ketika berumur 13 tahun beliau dihantar oleh ayahnya belajar di Penambang, Kota Bharu kepada Haji Che Nuh Penambang. Selama dua tahun sahaja dia telah tamat pengajian Al-Quran.Ketika umur 15 tahun, Haji Daud bin Saamah, bapanya telah membawa Haji Saad ke Makkah bagi mempelajari ugama islam dengan lebih mendalam,Bapanya menyertai sama kuliah pimpinan Tok Wan Ali Kutan. Selepas kira-kira dua tahun bapanya pulang. Setelah lapan tahun menuntut di Makkah banyaklah ilmu pengetahuan yang dikumpulnya.

      Setelah sampai di Kelantan dengan menempuh bermacam-macam peristiwa beliau tinggal di Kangkong, kampung tempat lahirnya.Beliau berkahwin dengan Aminah binti Haji Mahmud,anak kepada salah seorang guru yang pernah belajar kepada Haji Abdul Malik, Sungai Pinang. Beliau dikurniakan dua orang anak. Haji Saad seorang yang sangat berminat belajar,walaupun setelah berkahwin dia belum puas-puas belajar.Beliau terpaksa berpisah dengan isterinya kerana ingin meneruskan pengajiannya di Kota Bharu- berguru kepada Tok Kenali dan Mufti Haji Wan Musa.Beliau berguru dengan Tok Kenali di Pondok Kenali,setelah beberapa tahun dia berkahwin sekali lagi dengan Hajjah Wan Saadiah Haji Ali (Anak Saudara Tok Kenali). Beliau dikurniakan tujuh orang anak.

      Berkat bimbingan gurunya, Tok Kenali, Haji Saad Kangkong diberi kepercayaan untuk mengambil bahagian mengajar di Masjid Kota Bharu yang merupakan pusat pengajian ilmu-ilmu Islam yang sangat masyhur di Semenanjung Melayu pada tahun 1920an dan 1930an.Pada tahun 1939 satu perubahan berlaku apabila Sekolah Arab Al-Ismaili dibuka. Antara guru awalnya Haji Saad Kangkong ikut sama menjadi guru ialah Haj Yaakub Ahmad Lorong Gajah Mati, Haji Islamil Abdul Majid( bekas Mufti Kerajaan Pontianak), Haji Nik Man Nik Kub, Haji Nik Man Abdullah.

      Pada pagi Sabtu, 26 Jun 1943 (26.6.2603 tahu Jepun) beliau mengajar kitab Fath al-Wahhab dan al-Mahalli, setelah selesai beliau pulang untuk minum pagi. Kebiasaanya selepas mengajar beliau pergi belajar pula dengan Tok Khurasan, belajar hadith. Tetapi pada pagi itu beliau berbasikal ke Kg. Lundang untuk mengambil buah nyiur di kebunnya.Sebaik-baik sahaja tiba balik di rumah, beliau meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.

    • Maulana Abdullah Nuh (1905-1947)

      Maulana Abdullah Nuh (1905-1947)

      Haji Abdullah Awang Nuh dilahirkan di Kampung Wakaf Bunut, Pasir Puteh kira-kira dalam tahun 1905M.Beliau mempelajari Al-Quran ketika masih kecil lagi dengan datuknya, Haji Senik seorang guru Al-Quran yang terkenal di situ dengan gelaran Tok Merbol.Haji Abdullah mempelajari dan mengenal kitab-kitab jawi dan kitab-kitab dasar bahasa Arab,kemudia beliau berlajar dengan Tuan Guru Haji Mhammad (Perak) di bandar Pasir Puteh.

      Namun beliau masih tidak puas hati, lalu menyambung pula ke Majlis ilmu Mufti Haji Wan Musa,kebetulan keluarga Mufti Haji Wan Musa begitu berminat kepada pengajian tinggi Islam.Beliau juga akan melanjutkan pelajarannya ke Universiti Deoband, India. Menurut Haji Wak Ali juga bahawa Haji Abdullah sebelum ke India sempat ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk belajar di sana selama empat tahun. Setelah kembali dari Kuala Pilah itu beliau berkahwin dengan Cik Maryam di Kampung Semerak, Pasir Puteh atas kehendak keluarganya.Menurut surat kebenarannya ke India yang bertarikh 4 september 1932 bahawa Haji Abdullah Nuh ketika itu berumur 29 tahun.

      “Haji Abdullah Nuh kembali ke Tanah Melayu kira-kira pada tahun 1939M dengan ilmu pengetahuan yang mendalam tentang mazhab empat, hadith dan tafsir Al-Quran”.Haji Abdullah Nuh telah membuka sebuah sekolah Arab- Madrasah Al- Balagh al-Mubin- di atas sebidang tanah milik keluarganya di Wakaf Bunut dengan bantuan dan sokongan Penghulu Muhammad Tahir Musa, Haji Nik Ismail,Haji Awang dan penduduk-penduduk kampung. Haji Abdullah Nuh bukan sahaja sebagai seorang ulama dan ahli politik, malah juga seorang perwira.

      Setelah berjuang dalam bidang politik,tentera, dakwah dan sebagainya untuk menanam semangat keislaman kepada kaum muslimin dan untuk menerangkan politik Islam, maka pada jam 10.20 pagi 15 September 1947 beliau meninggal dunia. Beliau meniggal dalam usia 38 Tahun yang begitu muda.

    • Tok Guru Haji Wan Adam (1909-1957)

      Tok Guru Haji Wan Adam (1909-1957)

      Haji Wan Adam bin Wan Abdullah dilahirkan pada 1909M bersamaan tahun 1327H di Kampung Surau, Pasir Pekan Kelantan oleh ibunya, Wan Setajar (Siti Hajar) binti Wan Abu Bakar (Imam Pasir Pekan yang pertama).Bapanya Wan Abdullah bin Wan Nuh.Beliau sungguh beruntung kerana lahir dari kalangan keluarga yang sudah mempunyai asas-asas ugama – datuk dari sebelah ibunya ialah bekas Imam pertama di Pasir Pekan. Beliau telah khatam Al-Quran dengan Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Abdul Rahman seorang guru Al-Quran di kampung surau itu.

      Setelah tamat Al-Quran beliau mahu belajar dengan Tuan Guru Haji Abbas di Kota Kubang Labu, tetapi tidak lama di sini beliau bersama-sama Haji Wan Muhammad Saghir Wan Kono’ belajar pula di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Beliau terpaksa berulang-alik dengan perahu kecil,terkadang pernah terbalik sehingga basah seluruh pakaian dan kitab-kitab, namun mereka tetap juga berdayung sehingga beberapa tahun.Beliau juga pernah belajar dengan Haji Yaakub Haji Ah,ad Lorong Gajah Mati,Haji Ismail Haji Sulong,Haji Ismail Palekbang dan Haji Ahmad Kedah.Setelah belajar di Masjid Muhammadi,beliau bersama-sama seorang kawannya bernama Haji Nik Muhammad bin Haji Wan Abdul Rahman telah pergi belajar di Kemuning, Machang kepada Tok Kemuning selama hampir setahun.

      Pada 8 Oktober 1925 bersamaan 1344 Hijrah beliau bersama tiga orang lagi dari Kemuning itu bertolak ke Mesir. Haji Wan Adam belajar di Mesir,kemudian menyambung pelajarannya ke Makkah Al-Mukarramah pula. Di Makkah beliau telah berjaya mengarang sebuah buku bernama “Zaadul Haj” bersama-sama Syaikh Hasan Nor Patani.Buku ini menjadi panduan kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan dicetak kali pertama di Matb’ah Syarqiah, Jeddah,tahun 1357H-1938M.Pada tahun 1938 Beliau telah berkahwin dengan Hajjah Nik Rogayah bt Haji Nik Mat yang ada hubungan dengan Tok Wan Ali Kutan dan keluarganya di Patani.

      Haji Wan Adam pernah dilantik menjadi anggota Dewan Ulama’ Majlis Ugama Islam Kelantan mengikut Pengasuh bilangan 2 keluaran 20 Jun 1946.Setelah berjuang untuk menegakkan Islam dan memajukan masyarakat beliau telah meninggal dunia pada 12 April 1957.Beliau telah meninggalkan sebelas orang anak dari dua orang isteri dan beberapa pusaka kepada anak-anaknya. Yang paling banyak ialah buku-buku.Selain dari itu ada juga tanahnya di Makkah da nada di antaranya yang diwakafkan di Makkah yang sampai kini masih wujud.

    • Haji Yaakub Gajah Mati (1895-1956)

      Haji Yaakub Gajah Mati (1895-1956)

      Haji Yaakub Haji Ahmad dilahirkan pada tahun 1895M(1313Hijriah) di Kampung Sireh.Sejak kecil lagi Haji Yaakub telah menunjukkan minatnya kepada pengajian Islam atas dorongan sendiri, setelah mengalami pahit getir atas kehilangan ibunya dalam usia masih kecil.Beliau di bawa ke Makkah pertama kalinya pada 23 Januari 1909 dan tinggal selama setahun di sana,setelah kembali dari Makkah beliau belajar di Kenali, dan di sinilah beliau menyedut ilmu pengetahuan Tok Kenali yang sangat masyhur itu hingga menjadi seorang alim.

      Pada akhir tahun 1916 beliau berhenti dari belajar di Kenali dan bertolak sekali lagi ke Makkah bersama ayahnya.setelah kembali dari Makkah pada tahun 1918 dalam usia sekitar 23 tahun. Beliau berkahwin dengan Hajah Halimah binti Che Ha, cicit Tok Kweng/Khatib Nuh, Kuala Lemal, Pasir Mas.Beliau telah memilih jawatan guru dan mula berkhidmat sebagai guru pada 1hb. April 1922, iaitu di Madrasah Muhammadiah, kelolaan Majlis Ugama Islam Kelantan, Sekolah Melayu pertama yang berorientasikan ugama.

      Haji Yaakub sangat dipercayai oleh orang-orang Kabul, sehingga kediaman beliau menjadi tempat mereka menyimpan wang dan tempat mereka meminta tolong untuk menghantar wang kepada keluarga mereka.Haji Yaakub adalah seorang ulama’ dan guru yang berpengetahuan luas. Beliau dilantik menjadi anggota Jemaah Ulama pada tahun 1946.

      Setelah sekian waktu berkhidmat dan setelah melahirkan sekia ramai muri maka pada pagi 6 Jumad Al-Awwal 1376 bersamaan 8 Disember 1956 beliau pulang ke rahmtullah di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu setelah menghidap penyakit jantung.Beliau juga beliau tidak meniggal hasil karya kecuali risalah “Cenderamata”. Kekayaan paling besar yang ditinggal oleh beliau ialah kekayaan kita-kita yang beratur jilid dari berbagai-bagai bidang pengajian.Buku Cenderamata ini diberi percuma sahaja sebagai kenang-kenangan kepada para pelajar dan kaum muslimin.

    • Tok Selehor @ Tok Selehong (1872-1935)

      Tok Selehor @ Tok Selehong (1872-1935)

      Nama penuhnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Osman bin Senik. Dilahirkan di Kampung Lubok Jong, di pinggir Sungai Selehong oleh ibunya. Mek Wi binti Muhammad Amin pada tahun 1872. Beliau diasuh dan dibesarkan di kampung itu dengan air Sungai Selehong yang tenang dan masih kelat.

      Pada zaman itu di Kelantan, pengajian al-Quran dipandang suatu penghayatan rutin yang amat mustahak, di mana muda-mudi yang tidak khatam al-Quran 30 juzuk itu dipandang dengan suatu pandangan kehinaan dan sukar untuk mendapat pasangan. Bagi Tok Selehong beliau beruntung besar kerana bapanya seorang guru al-Quran yang menyebabkan beliau dapat menghabiskan pengajian al-Quran dengan bapanya sendiri.

      Haji Osman bin Senik mempunyai cita-cita supaya anaknya menjadi seorang ulama’, kerana pada pandangannya anak yang soleh itu akan dapat memberi faedah yang besar kepadanya, sama ada ketika masih hidup apatah lagi setelah dia meninggal dunia. Kerana hasratnya itulah beliau lalu menghantar anaknya belajar di Sungai Pinang kepada Tuan Guru Haji Abdul Malik. Tidak lama di sini, hanya sekadar pelajaran dasar bahasa Arab sahaja, beliau terpaksa menyambung pelajarannya ke Patani.

      Minatnya kepada seni silat menjalar kepada seni sastera sehingga Tok Selehong menjadi cenderung membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan setia dan sebagainya. Beliau pandai membacanya dengan lagu-lagu yang indah, tambahan pula suaranya sangat merdu, menarik minat umum kepadanya. Beliau bukan setakat pandai membaca syair, malah pandai mengarangnya juga. Pada zaman itu tidak ada pengarang syair yang dapat menandinginya sehinggakan beliau digelarkan Tok Syair atau Abdul Rahman Syair.

      Beliau berkahwin dengan Wan Halimah Dolah, perawan pilihan keluarganya sewaktu masih memondok di Patani. Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak menjejas pengajiannya, malah mendorong beliau belajar dengan getol sekali, lebih-lebih lagi setelah mendapat tiga orang anak iaitu Haji Mat, Maimunah dan Abu Bakar. Sekembali dari Patani, beliau menyambung pengajiannya ke Makkah selama kira-kira lapan belas tahun. Mengikut Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Husain (Haji Lah Hutan Pasir), bahawa Tok Selehong sempat belajar di Makkah kepada Pak Chik Daud Patani, mentua kepada Pak Da ‘Ail, guru bangsa Melayu yang masyhur di Makkah. Kerana adanya catatan penerangan dan anotasi yang ditulis oleh Tok Selehong pada kitab Musalli itu maka Tok Kenali pernah meminjam kitab tersebut untuk rujukan murid-muridnya pula.

      Setelah kembali dari Makkah, Haji Abdul Rahman membuka pusat pengajian pondok di Kg. Lubok Selehong di tepi Sungai Selehong di atas tanah milik ayahnya, kira-kira pada tahun 1340H. Selepas beberapa tahun, pondoknya berkembang hebat kerana ramainya pelajar dari luar dan dalam negeri datang menimba ilmu di situ. Mereka datang dari Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa, Siak dan sebagainya. Dan untuk menampung keperluan air minum, digali sebuah telaga besar pada tahun 1345H/ 1927M.

      Tok Selehong mempunyai kebolehan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi sangat diminatinya ialah ilmu tasawuf. Kitab Hikam oleh Ibn ‘AtaiLlah merupakan kitab yang paling syo’ diajarkan kepada orang ramai, mungkin kerana kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah, serta menjauhi dari sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, riak, sum’ah dan sebagainya.

      Cara Tok Selehong menyampaikan ajarannya mudah menyentuh hati para pendengarnya. Walaupun diulang-ulang tetapi tidak menjemukan. Mengikut Tuan Guru Haji Hasan Ahmad, Kubang Batang: “Saya tidak pernah mendengar orang mengajar yang lebih mempesonakan, lagi begitu berkesan yang dapat mengatasi kepandaian Tok Selehong”.

      Tok Selehong adalah seorang yang zahid lagi wara’. Beliau bimbang hatinya menjadi angkuh kerana terlalu dipuja dan takut menjadi riak. Lantaran itu beliau menyediakan tempat berkhalwat, dan lubang itu masih kekal sehingga hari ini. Haji Che Mamat Haji Sharif menerangkan bahawa Tok Selehong berkata kepadanya: “Tujuan dibuat lubang bersuluk di dalam tanah itu supaya hati menjadi kecut dan sentiasa mengingati mati”,

      Ini sebenarnya suatu langkah untuk benar-benar insaf dan mendekatkan diri kepada mati iaitu berkhalwat di dalam lubang terutama di atas kubur kerana di sana mudah dirasai hidup seorang diri di dalam tanah itu dan akan lahirlah perasaan ingin menyediakan bekal untuk menghadapi saat mati supaya tidak sesal kemudian.

    • Haji Abdullah Tahir Bunut Payong (1897-1961)

      Haji Abdullah Tahir Bunut Payong (1897-1961)

      Tuan Guru Haji Abdullah Tahir telah dilahirkan pada zaman seorang raja yang soleh iaitu almarhum Sultan Mansor yang terkenal adil dan patuh menjalankan pemerintahan menurut lunas-lunas hukum syarak. Bagindalah raja negeri Kelantan yang pertama mendisiplinkan rakyat jelatanya supaya mereka berpakaian sopan dan menutup aurat. Baginda telah memerintah para soldadunya berkawal di jalan-jalan dan sesiapa yang didapati berjalan tanpa pakaian yang wajar akan ditahan oleh soldadu-soldadu itu dan dipalitkan badannya dengan belakin (Cat hitam).

      Jika Tok kenali dianggap tokoh yang paling berjasa membawa kemuncak pengajian tatabahasa Arab di negeri ini, maka Tuan Guru Haji Abdullah Tahir adalah tokoh yang paling berjasa menyempurnakan kemuncak pengajian fiqh Syafi’iyyah yang paling handal pada zamannya dan beliaulah jaguh yang selalu bersedia tampil ke hadapan untuk mempertahankan aliran Syafi’iyyah di dalam pergolakan-pergolakan khilafiah yang berlaku pada zamannya.

      Beliau memulakan pengajiannya pada ayahandanya sendiri dan setelah mendapat pelajaran dasar yang agak kukuh, maka pada tahun 1910 beliau telah dimasukkan ke Pondok Kenali untuk belajar pada Tok Kenali yang baru saja pulang setahun dari Makkah al-Mukarramah ketika itu beliau berusia 13 tahun. Hari pemergiannya ke Pondok Kenali telah diperingati beliau dengan menanam empat pokok kelapa sebagai saksi hijrah ilmiahnya. Dua batang dari pokok-pokok itu masih tegak di depan balaisah Bunut Payong hingga dewasa ini.

      Beliau belajar di Kenali selama 15 tahun dan pada awal tahun 1926 beliau berangkat ke Makkah bersama adindanya Tuan Guru Haji Mukhtar untuk melanjutkan pelajarannya terutamanya di bidang pengajian fiqh yang menjadi pokok peminatannya.

      Di kota Makkah yang kaya dengan para ulama’ yang jempol itu beliau mendapat kesempatan penuh untuk mengisikan impian ilmiahnya dari berbagai-bagai guru dan di antara guru-guru utamanya ialah Syeikh Ali Maliki, Syeikh Said Yamani, Syeikh Mukhtar ‘Atarid dan Syeikh Muhammad Patani.

      Setelah berada di kota suci selama kira-kira empat tahun, beliau kembali ke tanah air membawa ilmu-ilmu pengetahuan tinggi yang melayakkannya untuk menjadi seorang ulama’ besar.

      Dan atas permintaan Haji Nik Mahmud (Dato’ Perdana Menteri Kelantan) pada zaman itu beliau telah bertugas mengajar di Masjid Muhammadi bersama-sama Tok Kenali, Tuan Guru Yaakub Legor, Hj. Saad Kangkong, Hj. Che Ahmad Mannan, Hj. Ali Pulau Pisang dan lain-lain. Menurut Mufti Kelantan, Tuan Guru Haji Muhammad Nor, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir meneruskan tugasnya mengajar di Masjid Muhammadi hingga tiba zaman meleset di tahun tiga puluhan. Berikutan dengan itu pada akhir tahun 1931 (1350) beliau telah memulakan usaha keguruannya di tempat kediaman sendiri di Bunut Payong dan mengasaskan pondoknya “al-Madrasah Ahmadiah Bunut Payong” yang terkenal sebagai pusat pengajian pondok yang terbesar dan tertinggi di Kelantan, di mana berkumpul kira-kira 800 orang yang datang dari berbagai-bagai negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia, Kemboja dan Thailand dan di sekitar kawasan itu dipenuhi oleh kira-kira 500 buah pondok yang membentuk satu perkampungan pelajar yang teratur rapi.

      Di samping mengajar beliau tidak lupa kepada tugas-tugas mengembleng barisan ulama’ Kelantan supaya bersatu padu dan untuk maksud itu beliau bersama adindanya Tuan Guru Haji Mukhtar telah merintiskan penubuhan persatuan Jabhat al-Ulama’ al-Diniah Kelantan pada tahun 1936, kemudian persatuan ini telah didaftarkan dengan rasmi di tahun empat puluhan yang merupakan tahun kemuncak kegiatannya. Yang Dipertua pertama persatuan itu ialah Tuan Guru Haji Mukhtar dan apabila beliau bertugas selaku Qadhi di Bachok, maka jawatan Yang Dipertua telah disandang pula oleh Tuan Guru Haji Abdullah Tahir sendiri. Malah jawatan itu telah bertukat ganti berkali-kali lagi di antara dua saudara yang aktif itu hingga akhirnya hilang di dalam sejarah.

      Selain dari itu Tuan Guru Haji Abdullah Tahir telah dilantik pula oleh Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan selaku anggota Jemaah Ulama’ dan anggota Jawatankuasa Pengadil di Mahkamah Kelantan.

      Setelah menderma baktinya selama kira-kira tiga puluh tahun, maka pada pagi 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15hb. Ogos 1961 waktu 7.20 pagi roh beliau dipanggil pulang ke alam baqa’. Lebih dari 2000 orang rakyat Kelantan membanjiri tanah perkuburan pada hari perkebumiannya dan turut serta menyatakan belangsungkawa melawati jenazahnya ialah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Malaysia yang kebetulan berkunjung ke negeri Kelantan.

    • Haji Mat Pauh (Haji Muhammad Jambu) (1905-1973)

      Haji Mat Pauh (Haji Muhammad Jambu) (1905-1973)

      Nama sebenar Haji Mat Pauh ialah Haji Muhammad Jambu yang juga terkenal juga dengan panggilan Tok Janggut. Beliau dilahirkan sekitar tahun 1905 di Kg. Pauh, Panji. Pada mulanya beliau belajar dengan Tok Kenali setelah lama belajar di Masjid Muhammadi. Beliau berdamping dengan Tok Kenali selama 12 tahun. Namun beliau masih belum berpuas hati, kemudian disambung lagi pelajarannya di Makkah selama 5 tahun dengan perbelanjaan keluarganya sendiri.

      Ketika di Makkah beliau telah berjaya menguasai kitab-kitab penting seperti Mahalli, Fath al-Wahhab, Hadis-Hadis Bukhari, Muslim, Muwatta’ dan sebagainya. Kitab-kitab ini kemudiannya diajar kepada murid-muridnya ketika beliau membuka pondok di Pauh, Panji.

      Semasa di Kampung Pauh itu beliau telah berjaya mengembangkan pondoknya sehingga menjadi 100 buah pondok; kebanyakan penuntutnya datang dari negeri Pahang. Beliau mula membuka Pondok di sini setelah kembali dari Makkah kerana beliau berkahwin awal iaitu ketika masih memondok di Kenali lagi. Setelah mendapat anak sulung, Muhyiddin, beliau pergi ke Makkah menyambung pelajarannya.

      Mata pelajarannya ialah fiqh, tauhid, nahw dan sebagainya. Semua kitabnya adalah sama seperti kitab-kitab yang diajar di pondok, cuma caranya ialah cara sekolah dengan jadual waktunya dari 9.30 pagi hingga 11.30 pagi dan malam pula dari jam 9.30 hingga 11.30 malam.

      Di samping itu beliau juga mengajar ilmu mantik, balaghah, mustalah al-hadis, usul fiqh dan lain-lain. Kitab-kitab itu diberinya syarah dan penjelasan yang detail. Kadang-kadang beliau menyuruh murid-muridnya membaca kemudian diberinya penjelasan. Beliau sangat suka dan gembira bila ada murid-murid yang bertanya.

      Haji Muhammad Jambu sangat warak, berfahaman lama dan begitu cenderung kepada mazhab Syafie. Dalam bukunya, al-Qaul al Mufid (1952) beliau menyebelahi pendapat yang menyokong masalah talkin, tunggu kubur, berjamu kerana kematian dan sebagainya. Beliaulah salah seorang yang mempertahankan jika terdapat serangan dari golongan yang berfahaman sebaliknya, yang biasanya lahir dari lepasan pengajian India pada zaman itu.

      Di samping itu sebuah buku bertajuk Adab Pergaulan telah selesai dikarang pada 4 Ramadhan 1374 dengan tujuan meminta derma untuk mendirikan Madrasah Aziziah, Jambu, Panji.

      Buku berukuran 5 inci X 7 inci itu dicetak di Majlis Ugama Islam Kelantan. Antara lainnya beliau menulis : adab pergaulan di antara suami isteri, kelebihan lelaki dan perempuan, adab pergaulan antara ibu bapa dengan anak-anak, adab pergaulan guru dengan murid, adab pergaulan antara pemerintah dengan rakyat, adab pergaulan seseorang kepada saudara yang Islam.

      Kalau kita melihat jalan bahasa yang digunakan, maka Haji Muhammad Jambu memang ulama’ yang lancar bahasanya di dalam karang-mengarang. Beliau mempunyai kemampuan mengolah sesuatu masalah dengan jelas; di samping itu pula beliau mempunyai kebolehan mengarang di dalam bahasa Arab, kebolehan untuk memberi taklik kepada buku Mustalah Minhaj, bahasa Arab karangan Syed Ahmad Ibnu Abi Bakr, dan dua risalah tulisan tangan yang belum sempat dicetak, itu telah membuktikan bahawa beliau boleh mengarang dalam bahasa Melayu dan Arab dengan baiknya.

      Majlis Ugama Islam Kelantan mempunyai suatu Jemaah Ulama’ untuk mengeluarkan fatwa sejak beberapa tahun selepas penubuhan Majlis. Jemaah ini diwujudkan untuk mengeluarkan fatwa-fatwa syariah. Haji Muhammad Jambu telah dilantik menjadi anggota Jemaah Ulama’ sebelum tahun 1943 lagi, dipengerusikan oleh Dato’ Mufti Haji Ahmad Maher Ismail.

      Setelah berjuang menaburkan ajaran Islam dan telah banyak lahir ulama’ dari rumpun murid-muridnya seperti Tuan Guru Haji Abdullah Ahmad Bukit Kelidang, Pahang, Tuan Haji Sulaiman Imam Mukim Chekok, Panji, Imam Haji Abdullah Panchor, Yang Berhormat Haji Nik Abdullah Arshad, Muhammad Said Ibrahim yang mengajar di Mentakab, Pahang, Haji Ahmad bin Haji Ismail, Pelawat Ugama Sekolah Kebangsaan Pahang dan lain-lain, beliau akhirnya meninggal dunia pada 1 Disember 1973 jam 11.05 hari Sabtu.

    • Dato' Haji Ahmad Maher al-Zahari (1904-1968)

      Dato' Haji Ahmad Maher al-Zahari (1904-1968)

      Mengikut Hajah Sharifah ‘Alawiah, bahawa Haji Ahmad Maher dilahirkan di Ma’ala, Makkah al-Mukarramah kira-kira pada tahun 1324 Hijriah (1905 Masihi) oleh ibunya, Hajah To’.

      Sejak masih di Makkah lagi Tok Kemuning telah mengasuh anaknya menghafaz al-Quran, belajar bahasa Arab dan kitab-kitab ugama. Kira-kira umur sebelas tahun beliau dibawa kembali ke Kelantan dan tinggal Kemuning. Setelah ayahandanya berkahwin di Bachok, Tok Kemuning berkahwin dengan Che Bidah, Kubang Pasu, Kota Bharu. Dan di sinilah Haji Ahmad Maher menetap kerana tempat ini memberi suatu kemudahan kepada beliau untuk belajar di Masjid Muhammadi.

      Di Kota Bharu inilah Haji Ahmad Maher dapat menimba ilmu dari guru-guru yang berkaliber pada masa itu, iaitu Tok Kenali, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Ahmad Hakim, Haji Yaakub bin Ahmad (Lorong Gajah Mati), Tok Khurasan (Syed Hasan) dan lain-lain. Haji Ahmad Maher mempunyai ingatan yang luar biasa, sebab itu beliau dapat mengatasi kawan-kawannya yang lain.

      “Haji Ahmad Maher belajar Misykat al-Masabih dan al-Tirmidzi dalam bidang hadis dan al-Qurtubi dalam bidang mantiq dan Ihya’ Ulum al-Din, beliau belajar dengan Tok Khurasan dan Haji Yaakub kira-kira lima tahun,” kata Haji Daud al-Ahmadi.

      Menurut Haji Daud al-Ahmadi, Haji Ahmad bin Ismail mendapat gelaran Haji Ahmad Maher ialah ketika beliau belajar di Mesir kerana kemahirannya dalam ilmu usul al-fiqh. Gelaran itu gurunya di Mesir itu termasuklah Syeikh Bakhit, seorang ulama’ yang terkenal. “Haji Ahmad Maherlah anak Kelantan yang pertama mendapat syahadat alimiah dalam masa yang singkat sahaja,” demikian dijelaskan oleh Haji Daud al-Ahmadi, pengarang kitab-kitab ugama, Haji Yaakub, Setiausaha Jemaah Fatwa Majlis Ugama Islam Kelantan.

      Setelah berkhidmat sebagai seorang guru di Masjid al-Haram, Makkah al-Mukarramah maka pada tahun 1931 Haji Ahmad pulang ke Kelantan dan tinggal di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu bersama sanak keluarganya. Tidak lama kemudian, pada 1hb. Julai 1931 beliau dilantik menjadi Nazir Pelajaran Majlis Ugama Islam Kelantan. Kemudian beliau dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan sebagai salah seorang dari anggota penggubal undang-undang Madrasah Muhammadiah.

      Walaupun beliau sibuk dengan jawatan-jawatan yang disandangnya, beliau adalah seorang yang sangat berminat dalam karang-mengarang. Beliau boleh mengarang dalam bahasa Arab dan Melayu dengan baik. Sebab itu apabila Dato’ Laksamana (Dato’ Haji Muhammad bin Haji Md. Said) meletakkan jawatannya dari menjadi pengarang Pengasuh dan jawatan Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan mulai 1hb. Disember 1933.

      Haji Ahmad Maher juga dilantik menjadi Ketua Pelajaran mengganti al-Fadhil Tuan Guru Kenali mulai Januari 1934. Tidak lama jawatan itu dipeganginya, kerana pada 15hb. Oktober 1935 beliau dilantik menjadi Qadhi Besar Negeri Kelantan. Kekosongan jawatan Nazir itu dipegang oleh Haji Nik Muhammad bin al-Allamah Haji Wan Musa pada 1hb. Februari 1936.

      Selepas tiga tahun memegang jawatan Qadhi Besar, beliau dilantik menjadi Mufti Khas kepada almarhum DYMM al-Sultan Ismail ibni almarhum Sultan Muhammad ke-IV, dan sebagai guru khas kepada YTM Tengku Kembang binti al-Sultan Muhammad ke-IV, bonda Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sekarang (1975).

      Ketika menjadi Mufti Khas itu beliau telah menulis sebuah buku “Kitab Suluhan Awam” yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Cetakan pertama di Matbaah al-Ismailiah, Kota Bharu, Kelantan. Buku yang setebal 60 muka itu menagndungi 80 bahagian, yang membicarakan rukun-rukun Islam dan rukun-rukun Iman.

      Pada tahun 1941, Haji Ahmad Maher telah dilantik sebagai pemangku Mufti Kerajaan Kelantan, dan pada 1hb. Januari 1945 beliau telah ditetapkan dalam jawatan itu sehingga akhir hayatnya. Ketika menjadi Mufti inilah banyak sumbangan yang dilakukan terhadap kemajuan pelajaran ugama Islam di Kelantan dan menyusun pentadbiran secara lebih moden.

      Haji Ahmad Maher sebagaimana yang telah dijelaskan adalah tokoh penting yang memberikan sumbangan yang besar kepada ugama dan negara. Maka dengan itu beliau dianugerahkan beberapa bintang kebesaran negeri serta digelar “Dato’ Kaya Perba”. Paling akhir diterimanya ialah : Darjah-darjah SPMK, DJMK dalam tahun 1966, iaitu darjah kebesaran yang paling tinggi yang pernah dikurniakan kepada orang-orang besar negeri yang bukan kerabat Diraja, yang dianugerahkan oleh Yang Maha Mulia Kebawah Duli Tuanku al-Sultan (sekarang, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong). Beliau juga pernah dilantik menjadi ahli Majlis Penasihat Raja (MPR) dan ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN) sehingga ke akhir hayatnya.

      Setelah berjuang dan berkhidmat dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi terhadap ugama dan bangsa serta nusanya, maka beliau dipanggil pulang mengadap Allah SWT pada petang Sabtu 17 Zulhijjah 1387 bersamaan dengan 16hb. Mac 1968 dalam usia 63 tahun dan dikebumikan di Kubur Banggol, Kota Bharu. .

    • Haji Ali Pulau Pisang (1899-1968)

      Haji Ali Pulau Pisang (1899-1968)

      Haji Ali dilahirkan pada tahun 1899 di Kampung Telok Katak, Mukim Pulau Pisang, daerah Badang, Kota Bharu, Kelantan dari keluarga yang miskin. Bapanya, Awang bin Kali bekerja sebagai seorang penyadap kelapa dan suka memelihara lembu jantan yang cantik. Haji Ali ialah anak yang ketiga dari sembilan orang saudara. Sejak masih kecil lagi ibunya, Wan Kalthum meninggal dunia dan tinggallah beliau bersama-sama neneknya, Wan Jingga.

      Ketika tinggal bersama neneknya itulah beliau belajar al-Quran dari Wan Abu Bakar iaitu bapa saudaranya dari sebelah ibu. Dari murid-muridnya yang ramai belajar al-Quran, Haji Ali dikatakan seorang yang mudah dapat menghafaz al-Quran. Oleh kerana kesungguhan dan kebolehannya itu Wan Abu Bakar mendorong beliau belajar di pondok. Sebab itu selepas tamat al-Quran Haji Ali berpindah ke Sungai Pinang untuk belajar di Pondok Haji Abdul Malik. Sikap itu tidak dipersetujui oleh bapanya, kerana bapanya mengharapkan Haji Ali bekerja menolongnya, tetapi Haji Ali meneruskan cita-citanya untuk ke Pondok itu walaupun dia tidak mendapat bantuan daripada bapanya. Tetapi Che Jah, ibu tirinya bersetuju dengan sikap Haji Ali; kerana itu beliau secara diam-diam membantu Haji Ali belajar di pondok. Haji Ali belajar bersungguh-sungguh dan jarang pulang ke rumah.

      Setelah beberapa tahun di Pondok Sungai Pinang, beliau meneruskan pelajarannya ke Patani. Di sanalah beliau mendapat pengetahuan yang banyak, namun demikian beliau belum berpuas hati. Setelah pulang beliau tinggal di Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi di Geting, Tumpat. Setelah beberapa tahun di Pulau Ubi Haji Ali dibawa oleh datuk saudaranya, Haji Pandak untuk naik haji ke Makkah sebagai teman anaknya (Abdul Kadir). Haji Ali telah menaiki kapal ke Makkah di pelabuhan Tumpat dengan dihantar oleh keluarganya. Keluarganya menganggap Haji Ali sungguh bernasib baik kerana dapat ke Makkah tanpa melibatkan wang keluarganya sedikit pun.

      Haji Ali belum merasa berpuas hati dengan ilmu yang ada padanya. Beliau mahu meneruskan lagi pelajarannya. Di Kelantan ketika itu Pondok yang ramai para pelajarnya ialah Pondok Kenali dan Tok Kenali dianggap guru yang paling agung zaman itu. Haji Ali membuat keputusan untuk tinggal di Kenali walaupun dari kalangan keluarganya mendesak supaya beliau kahwin lebih cepat dan ada pula orang yang ingin memberi anak untuk dijadikan isterinya.

      Di Pondok Kenali, Haji Ali telah memusatkan bidang pengajiannya pada ilmu nahu dan fiqh. Beliau telah menunjukkan kebolehannya yang luar biasa dan pernah menjadi pembantu Tok Kenali dalam memberi ajaran kepada para pelajar di Pondok itu.

      Tidak lama kemudian dari tarikh perkahwinan itu beliau kembali ke mukim Pulau Pisang, lalu membuka Pondok di situ. Oleh kerana namanya telah pun terkenal sebagai seorang pakar ilmu sarf dan nahw, maka beliau telah dikunjungi oleh pelajar dari beberapa buah negeri seperti Banjar, Sumatera, Brunei, Kemboja, Kedah, Perak, Patani, Negeri Sembilan dan sebagainya.

      Selain mengajar di Pulau Pisang, Haji Ali juga diminta mengajar di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, yang ketika itu menjadi pusat pancaran ugama Islam dari Kelantan ke kawasan Nusantara ini, khasnya ke seluruh Malaysia. Haji Ali terpaksa berjalan kaki sejauh hampir sepuluh batu. Terkadang beliau menaiki motobot ke Kota Bharu, kerana perhubungan pada zaman itu sangat sulit dan tidak ada kenaikan.

      Sebagai seorang yang mempunyai kebolehan dan keahliannya dalam hukum agama, maka Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan telah melantik beliau menjadi salah seorang ahli Jemaah Fatwanya.

      Atas sumbangan jasanya yang cemerlang kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, maka al-Sultan Kelantan, Tuanku Yahya Petra Ibni almarhum al-Sultan Ibrahim, menganugerahkan sebuah Pingat Bakti (P.B), iaitu pada 18 Rabiulawal 1385 bersamaan 17hb. Julai 1965. Oleh kerana ketika itu Tuan Guru Haji Ali dalam keuzuran maka Pingat Bakti telah disampaikan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra. Ikut sama dalam majlis penyampaian di Pulau Pisang itu ialah Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Tengku Abdul Aziz bin Tengku Muhammad Hamzah, dengan diiringi oleh pembesar-pembesar negeri Kelantan.

      Setelah ditimpa penyakit lumpuh lebih dari tiga tahun dan tidak juga sembuh setelah diubati maka pada pukul 7.05 pagi Khamis 3hb. Oktober 1968 beliau meninggal dunia di Kg. Telok Katak ketika berusia 69 tahun. Kehilangan beliau seperti gugurnya sebuah bintang dari bumi negeri Kelantan yang sekian lama menjadi pedoman manusia.

    • Haji Awang Lambor (1900-1963)

      Haji Awang Lambor (1900-1963)

      Beliau dilahirkan di Kampung Padang Merbau, Lambor, Wakaf Bharu, pada tahun 1900. Oleh kerana bapanya, Haji Omar seorang ahli dalam pengajian al-Quran, beliau ingin mendapat anak dan menantu orang yang alim juga. Haji Mat Saman (mentua Tok Selehor) yang terkenal alim dalam bidang bacaan al-Quran diambil menjadi menantunya.

      Beliau telah mendidik Haji Awang sejak kecil lagi dengan pengajian al-Quran sebagai dasar untuk mendekatkan diri kepada Islam. Dengan tekun dan sabar Haji Awang telah mendapat kejayaan dalam bidang ini, lebih menguntungkan lagi kerana abang iparnya juga seorang yang alim dalam hal dan selok-belok al-Quran.

      Setelah meningkat remaja beliau dihantar kepada Tok Kenali, suasana pusat pengajian di Kenali itu dialami bersama dengan kawan-kawannya dengan mutalaah buku dan mendalami hukum-hukum agama. Haji Awang Lambor tidak begitu lama di Kenali, beliau bercita-cita ke Makkah, tetapi kerana pada tahun itu terkandas, lalu meneruskan pengajiannya kepada Tuan Guru Haji Muhammad Zain Meranti, Pasir Mas. Tidak lama selepas memondok di Meranti, beliau berpindah pula ke Selehor, juga demi mendalami ilmu pengetahuannya.

      Tok Selehor yang mengamal Tarekat Syatariah itu turut diterima oleh muridnya Haji Awang Lambor. Tidak ramai orang yang menerima tarekat seperti beliau. Dengan ajaran ini beliau menjadi asyik dengan zikir Allah, malam banyak digunakan untuk mendirikan sembahyang dan menatapi kitab.

      Haji Awang tergolong salah seorang yang pintar dan warak. Siang dan malam mulutnya sentiasa menyebut nama Allah, tidak ada saat yang kosong baginya melainkan bertasbih. Cara inilah satu-satunya jalan yang boleh mendampingi Allah dan menambahkan cinta seorang hamba kepada Allah, sebagai suatu cinta yang berkekalan, kekal dalam sebutan dan ingatan.

      Dalam pengajiannya di Selehor ini telah mencapai taraf kedua dalam jemaah pengajian, sebab itu beliau diberi apa jua yang bekal yang difikirkan patut oleh Tok Selehor. Tarekat Syatariah sebagai bekal tadi diberi oleh Tok Selehor kepadanya. Beliau membacanya sehingga beliau meninggal dunia.

      Setelah beberapa tahun di Selehor itu beliau meminta izin dari gurunya untuk menyambungkan lagi pelajarannya. Beliau meneruskan sehingga sampai ke Makkah, pusat ibadat dan pusat pengajian tinggi Islam di dunia. Di sini beliau telah menemui berbagai-bagai guru dan alim ulama’ yang mampu dan ahli dalam setiap bidang. Beliau menggunakan kesempatan di Makkah itu dengan membaca dan mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang fiqh, tasawuf, nahw (Arabiah) dan sebagainya.

      Haji Awang Lambor kembali ke Kelantan pada tahun 1932. Tiga tahun kemudian guru kesayangannya, Tok Selehor meninggal dunia. Sebelum itu Tok Kenali telah pergi lebih dahulu menemui Allah, menemui pencipta yang dicintainya, pertemuan yang sangat-sangat ditunggu-tunggu oleh orang yang asyik kepada tuhannya.

      Haji Awang mahu membangunkan ajaran yang dipelajarinya selama ini. Kerana mengembangkan pengetahuan ilmu ugama adalah wajid di atas orang yang mempunyai ilmu. Ayahnya, Haji Omar bin Haji Abdul Rahman berusaha membangunkan pondok-pondok. Kebetulan ketika itu Haji Omar mempunyai 25 murid yang datang dari Pahang, Terengganu dan sebagainya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usianya 63 tahun.

    • Haji Umar Banggol Kulim (1882-1962)

      Haji Umar Banggol Kulim (1882-1962)

      Guru pondok dan pemimpin masyarakat yang sangat dihormati pada pertengahan abad ke-20. Seangkatan dengan Sheikh Uthman Jalaluddin Al-Kalantani, Haji Abdullah Pondok Padang dan Haji Mat Meranti.Termasuk dalam barisan murid awal Tok Bachok dan Tok Kenali. Manakala guru Qurannya pula ialah Lebai Idris Pangkalan Setol (Murid Kanan Tok Konok).

      Beliau menetap di Banggol Kulim serta membuka pondok pengajian agama di situ.Haji Umar pun masyur alim dalam bidang bacaan Al-Quran. Sebab itu kebanyakkan pelajar lepasan pondoknya fasih membaca ayat-ayat suci Al-Quran.Dalam pengajian tatabahasa Arab, beliau banyk dibantu oleh Haji Abdul Razak bin Abdul Latif yang berasal dari Seberang Pasir Mas( seorang murid Tok Kenali).

      Tuan Guru Haji Umar masyhur keramat lagi bermulut masin, lantas disegani ramai- orang Islam dan bukan Islam termasuk orang-orang Siam dan tentera Jepun(Zaman perang dunia Kedua). Tuan Guru Haji Umar kembali kea lam baqa jam 11.30 malam Jumaat 14 Rabiulawal 1382 bersamaan 13 September 1962 dalam usia 80 tahun.

    • Haji Husain Rahimi (1919-1971)

      Haji Husain Rahimi (1919-1971)

      Haji Husain Rahimi dilahirkan di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh Kelantan pada tahun 1919.Beliau dilahirkan oleh ibunya Hajah Halimah yang lebih terkenal dengan nama Hajah Che Mas binti Haji Sulaiman (Tok Ayah Sulaiman Keramat – Chetok).Haji Husain Rahimi adalah anak ketiga Haji Saman bin Abdul Rahman, seorang ulama terkenal di Pasir Puteh yang masyur alim dalam kita jawi,lebih terkenal dengan gelaran Mat Saman Jawi di kalangan sahabatnya.

      Sejak dari kecil Tuan Guru Haji Mat Saman, ayahnya sering membimbing dan mengajar membaca al-Quran dan kitab-kitab Jawi sepertimana yang telah diberi kepada murid-muridnya yang lain.Selepas berguru dengan ayahnya, beliau belajar pula kepada Tuan Guru Haji Mat Garam di Pondok Gong Datok, Pasir Puteh.Beliau juga sempat belajar dengan Haji Mat Jebeng di Kenali.Kemudian berpindah pula ke Pondok Bunut Payong belajar dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir yang sangat masyhur itu.Mengikut keterangan adiknya, Haji Saleh bahawa abangnya belajar dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir selama kira-kira 10 tahun.Beliau berkahwin dengan Hajah Che Som, anak yang ketiga Tuan Guru Haji Abdullah Tahir.

      Beliau mempelajari ilmu hadis pada Maulana Tok Khurasan di Bawah Lembah Kampung Sireh bersama-sama ulama yang lain.Beliau menyempurnakan pengajian ilmiahnya di Kota Makkah/di tanah suci,di mana wujudnya rumah Allah.Beliau telah mendapat kepujian dari Syeikh Yassin sebagai seorang ahli dalam usul fiqh.Empat tahun kemudian beliau kembali ke Kelantan iaitu kira-kira pada tahun 1951 dan menumpukan masanya dalam meneruskan pengajarannya bersama-sama mertuanya.Sebagai pemimpin masyarakat yang dihormati,maka pada tahun 1959 beliau telah terpilih menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu mewakili Pas.Beliau juga dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama PAS,Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kelantan,anggota Majlis Perhubungan PAS Kelantan.

      Setelah berjuang begitu gigih beliau dipanggil pulang oleh Allah dalam tahun 1971,ketika berumur 52 tahun.Beliau terpaksa meninggalkan Sekolah Sullamiah,meninggal murid-murid tentunya terpaksa berpisah dengan anak isteri juga.

    • Haji Ismail bin Haji Abdul Majid (1880-1952)

      Haji Ismail bin Haji Abdul Majid (1880-1952)

      Haji Ismail dilahirkan pada awal tahun 1300H/ Penghujung 1882M di Kampung Labok. Lebih dikenali dengan panggilan Haji Ismail Pontianak kerana lamanya bermastautin di Pontianak, Kalimantan Barat Indonesia. Kadang-kadang dipanggil Haji Ismail Labok sempena nama kampung asalnya. Selepas mendapat pelajaran asas di ibu negeri Kelantan (berguru dengan Pak Chik Musa dan Haji Nik Man Tua), Haji Abdul Majid menghantar Nuh dan Ismail ke Kota Ilmu Makkah bagi mendalami pengajian agama.

      Antara guru-guru pilihan Haji Ismail termasuklah Syeikh Syed Abdullah bin Muhammad Saleh Al- Zawawi, Syeikh Syed Abi Bakr bin Muhammad Shata, Syeikh Muhammad Said bin Muhamma Babasil dan ramai lagi.Haji Ismail belajar “serba sedikit” dan ternyata “mudah boleh”. Selepas enam tahun menuntut ilmu di Makkah, beliau sudah dapat mengajar orang lain.Setelah tamat pengajian (1907), Haji Ismail Labok berhijrah ke negeri Pontianak sebelah barat Pulau Borneo lebih daripada 20 tahun. Syeikh Abdullah Al-Zawawi (bekas gurunya) menasihatinya supaya pergi ke Pontianak kerana di sana tenaga orang alim sangat diperlukan.

      Selepas berakhirnya musim haji (1326H) Haji Ismail pun belayar menuju Kalimantan dan tiba di Pontianak beberapa minggu kemudian (sekitar awal 1909). Pada mulanya, beliau dikatakan mendapat perlindungan Syeikh Muhammad Yasin, seorang mubaligh yang berasal dari negeri Kedah. Haji Ismail diambil menjadi menantu oleh Haji Muhammad Tahir, seorang hartawan Bugis. Beliau berkahwin dengan Mukminah binti Muhammad Tahir dan mempunyai tiga orang anak perempuan.Pada awal tahun 1937 barulah Haji Ismail pulang semula ke Kelantan. Haji Ismail diberikan kepercayaan menerajui Madrasah Arabiah Jami’ Merbau Al-Ismaili, menjadi Mudi dan terpilih menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan.Jawatan lainnya sebagai khatib di Masjid Muhammadi (Sejak Mei 1943) dan beliau memang terkenal sebagai seorang khatib yang sangat tajam lidahnya.

      Mulai 1 ogos hingga 30 september 1949 beliau bercuti dari jawatan khatib selama dua bulan kerana menziarahi keluarga isterinya di Pulau Jawa.Beliau melawat Singapura dan jatuh sakit “sekat perut” selepas makan. Lama-kelamaan penyakitnya bertambah melarat.Beliau berubat di Narathiwat, Thailand namun bertambah melarat.Pada 29 Oktober 1950 bersamaan 18 Muharram 1370 pada pukul 10.00 malam Isnin beliau menghembuskan nafas terkakhir di Bandar Kota Bharu.Jenazahnya disemadikan di Kampung asalnya, Labok Machang.

    • Haji Nik Abdul Rahman Nik Kub (1910-1960)

      Haji Nik Abdul Rahman Nik Kub (1910-1960)

      Haji Nik Abdul Rahman Nik Kub telah dilahirkan pada tahun 1910 di Kampung Sungai Budor, Kota Bharu, Kelantan.Seorang guru Masjid Muhammad dan ahli pidato yang tajam lidahnya di Kelantan dalam tahun 50-an.Beliau telah dihantar belajar di Sekolah Melayu Majlis Ugama Islam.Setelah belajar di Sekolah Melayu Majlis beliau belajar kitab-kitab ugama kepada guru-guru yang penting seperti: Tok Kenali, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Abdullah Tahir, Haji Yaakub Legor, Haji Saad Kangkong, Haji Omar Sungai Keladi dan Haji Ahmad Manan yang semuanya mengajar di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

      Dengan belajar di masjid itu beliau telah banyak mendapat pelajaran ugama dan bahasa arab,tetapi minatnya belum puas sebelum menghabiskan pelajarannya di Makkah. Beliau bertolak ke Makkah pada tahun 1933 ketika berusia 23 tahun.Di sana beliau telah belajar dengan guru-guru yang masyhur, seperti Syeikh Syed Amin,Syeikh Hasan Masyat, Syeikh Syed Alawi, Syeikh Hasan Al-Yamani dan Haji Nik Abdullah bin Haji Wan Musa (dalam bidang hadith).Beliau telah berjaya menjadi guru di Makkah Al-Mukarramah.tidak berapa lama mengajar, beliau pulang bersama bapa saudaranya Almarhum Nik Hussin.Pada tahun 1939 beliau menjadi Qadhi Mahkamah Syariah Kota Bharu.

      Beliau juga dilantik menjadi Khatib Masjid Muhammad (1/3/1942),kemudian menjadi Iman Muda (1/5/1943-1/1/1945), Ahli Majlis yang menjaga Bahagian Ugama dan Masjid-masjid (1/3/1945-1/1/1946),Pegawai Ugama Tetap di Majlis Ugama dan Pegawai Seruan Ugama Islam (1/9/1956).Beliau juga pernah bersama Tuan Guru Haji Abdullah Tahir di dalam pertubuhan Jabhat al- Ulama’ dan menjadi Pengerusi Persatuan Imam Negeri Kelantan sehingga beliau meninggal dunia.

      Ulama’ pertama yang mengajar sejarah am kepada pelajar-pelajar pondok dengan menggunakan kitab Muqaddimah Ibnu Khaldun.Pengajaran ini diikuti oleh murid-murid yang sudah tinggi pengetahuan bahasa Arabnya. Persatuan Ulama Kelantan yang berusaha mengembangkan dakwah islamiah melalui pidato atau syarahan yang sebelum ini cara penyebaran Islam hanyalah dengan mengajar kitab dan tidak banyak dengan cara pidato.Haji Nik Man meninggal dunia pada 23hb Februari 1960 Jam 5.40 petang. Beliau meninggalkan dua orang isteri dan empat orang anak.Di samping itu, beliau telah meniggalkan sebuah Tafsir Surah Yasin yang kemudiannya diurus cetak oleh muridnya, Haji Ismail bin Samad, Penggawa Limbat Kota Bharu Kelantan.

    • Haji Nik Man Khatib (1911-1968)

      Haji Nik Man Khatib (1911-1968)

      Haji Abdul Rahman bin Abdullah bin Abdul Samad,Beliau dilahirkan pada hari tahun 1911 di Kubang Pasu, Kota Bharu.Kelahiran Haji Abdul Rahman oleh ibunya, Wan Aisyah seolah-olah memancarkan sinar bintang yang akan menyinari alam Kelantan dengan ilmu pengetahuan.Bapanya, Haji Nik Abdullah bin Haji Abdul Samad ialah seorang khatib dan Ulama’ Kelantan yang terbilang.Haji Abdul Rahman yang lebih terkenal dengan nama Haji Nik Man ini begitu tekun dan berminat dalam ajaran itu.

      Beliau bukan sahaja belajar dengan bapanya, malah ikut juga berguru kepada Haji Ahmad Hakim dan Tuan Guru Haji Ahmad Mannan dan lain-lain.Dalam usianya kira-kira 22 tahun beliau berkahwin dengan Hajah Fatimah bt Haji Yusuf dan mendapat anak yang pertama pada tahun 1934, iaitu Haji Nik Ismail.Beliau berangkat ke Makkah pada tahun 1935 dengan tujuan mendalami pengajian ugama Islam.Berkat tekun dan sabar itu beliau dapat memetik ilmu dengan begitu banyak dan membawa pulang ke tanah airnya, bumi Kelantan pada tahun 1939.

      Oleh kerana Haji Nik Abdullah Khatib (ayahnya) meninggal dunia lebih awal ketika berumur tidak sampai 60 tahun,maka beliau terpaksa menghidupkan kembali pondok ayahnya itu.Bilangan pelajar tidak begitu ramai, cuma ada antara 50-60 orang sahaja.Beliau dilantik menjadi Imam Tua Masjid Muhammadi mulai 4hb Julai 1946,suaranya yang parau dan lemak manis menusuk jiwa bila beliau membaca khutbah.Pada tahun 1949 beliau dilantik menjadi ahli Jamaah Ulama’ Majlis Ugama Islam Kelantan dan dilantik menjadi guru di Jami’Merbau al-Ismaili(Maahad Muhammadi sekarang) mulai 5hb. Disember 1952.Walaupon sibuk dengan tugas-tugasnya,namun beliau sempat pula meninggalkan hasil karyanya.Antara Lain ialah Rampain Nikah Cerai,Tahnik,Cukur Rambut,Cina Buta,Tashil al-Warathah,Musabba’at dan Husun Mani’ah dan Hadith al-Ahkam dan Ayat al-Ahkam.

      Setelah berkhidmat kepada ugama,bangsa dan negerinya selama kira-kira 28 tahun, maka beliau ditakdirkan meninggal dunia pada 22hb Januari 1968 dalam usia yang masih muda iaitu 57 tahun.Walaupon umurnya pendek,namun beliau telah meninggalkan murid-murid yang begitu ramai menjadi tokoh-tokoh ugama dan pegawai kerajaan.

    • Haji Omar Sungai Keladi (1867-1946)

      Haji Omar Sungai Keladi (1867-1946)

      Haji Omar bin Ismail Nuruddin telah dilahirkan oleh ibunya, Che Pit pada hari Selasa jam 12.00 tengah hari 18 Jumadilawal 1284H di Kampung Atas Banggol, Kota Bharu. Bapanya, Ismail bin Ibrahim adalah seorang tukang emas yang pernah membuat Bunga Emas Raja sebagai ufti kerajaan Kelantan kepada kerajaan Siam.

      Haji Omar bin Ismail adalah keturunan hulubalang dan ulama’. Cara hidup Islam telah dipraktikkan di rumahnya, serta dididik dengan didikan Islam. Sejak kecil lagi beliau telah diajar membaca al-Quran sehingga ketika umurnya sepuluh tahun beliau telah khatam al-Quran. Beliau belajar al-Quran kepada Tuan Guru Haji Abdul Manaf, seorang tokoh “majhul”.

      Setelah tamat al-Quran beliau belajar bahasa Arab di Surau Haji Awang Gemuk yang juga terkenal dengan nama Haji Awang Muhammad Zain atau Haji Awang ‘Alim Atas Paloh. Sekarang surau itu lebih terkenal dengan panggilan Surau Kamboja.

      Setelah beberapa tahun belajar di situ, beliau menyambung pengajiannya kepada Tuan Guru Haji Ismail bin Haji Mahmud Atas Banggol, Kota Bharu, sehingga beliau meningkat umur 18 tahun.

      Pada tahun 1305H beliau belayar ke Makkah untuk menambahkan ilmu di dada. Di Makkah al-Mukarramah beliau telah mengunjungi dua puluh orang guru semuanya. Antara guru-gurunya itu ialah: Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani, Syeikh Wan Ali Abdul Rahman Kutan, Tuan Abdul Muttalib Tuan Faqih Kota, Tuan Omar Bali, Syeikh As’ad bin Syeikh Adnan, Syeikh Muhammad al-Khayyat, syeikh Ahmad al-Muqri al-Mashawi, Syeikh Said al-Yamani, Syeikh Omar Shami, Syeikh Amin Hanafi, Syeikh Hasbullah, Sayyid Bakr Syata, Sayyid Omar Bajunid, Syeikh Mustafa Aqiqi, Syeikh Abdul Kadir Hindi, Sayyid Abdullah Zawawi, Pak Chik Wan Daud Patani, Syeikh Nik Mat Kechik. Dan beliau menghafal al-Quran dengan dua orang guru, Tuan Abdullah Senggora dan syeih Surur.

      Dengan guru-guru tersebutlah beliau belajar ilmu-ilmu tasawuf, fiqh, usuluddin, balaghah, mantiq, sarf, nahu, ‘arudh, tafsir, hadith, usul fiqh, falak, miqat, faraid, hisab, tajwid, bayan dan badi’.

      Untuk menimba ilmu yang banyak tentulah mengambil masa. Sebab itulah beliau terpaksa tinggal di Makkah selama 12 tahun (Hijriyyah). Beliau dapat menyelami berbagai-bagai bidang ilmu hisab dan falak yang sukar didapati di sini pada masa itu. Beliau dapat mengira dalam beberapa minit saja sepelepah daun kelapa yang gugur ke bumi. Dan seorang juru ukur berbangsa Inggeris telah mengaku kalah kepadanya dalam bab mengira lebih cepat. (Kaedah dari Sistem Inggeris).

      Haji Omar mula mengajar di masjid besar (kemudiannya Masjid Muhammadi) Kota Bharu pada hari Isnin 3 Zulkaedah 1322 H dengan perintah Sultan Muhammad yang Keempat. Beliau telah menulis rekod murid-murid yang belajar di masjid itu, iaitu dalam sebuah Buku Kehadiran atau Kedatangan.

      Mengikut rekod itu ramai para pelajar yang datang dari berbagai-bagai negeri di Malaysia dan Nusantara. Misalnya pada tahun 1326 H (1908M) kita dapati pelajar-pelajarnya selain dari Kelantan ada juga dari Patani, Palembang, Pahang, Legor, Minangkabau, Jawa dan lain-lain. Beliau mengajar dalam berbagai-bagai bidang seperti tafsir, hisab, kitab al-Iqna’, Minhaj al-‘Abidin dan lain-lain.

      Pada hari Selasa 7 Rabiulakhir 1335 bersamaan 30 Januari 1917 beliau dilantik menjadi pengarang dan penterjemah kitab-kitab Arab di Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Sebelum berhenti dari jawatan ini pada tahun 1340H/ awal 1922, beliau berjaya menyiapkan beberapa banyak buku pelajaran untuk kegunaan sekolah-sekolah MAIK.

      Sebelum memegang jawatan pengarang itu beliau telah berpindah dari Kampung Atas Banggol ke Sungai Keladi pada hari Khamis 20 Syaaban 1331. Rumah yang dibelinya ini asalnya adalah milik Tuan Tabal. Di Sungai Keladi itulah beliau telah membangunkan surau dan pondok-pondok untuk mengajar ugama secara bebas. Murid-muridnya datang dari seluruh Semenanjung, Sumatera, Kamboja, Sarawak dan lain-lain.

      Haji Omar adalah seorang ulama’ yang berkebolehan. Berpendirian tegas dalam sesuatu masalah dan cekap memberi hujah dalam perbahasan. Beliau tabah hati dan sabar. Fikirannya tajam.

      Beliau sangat kuat beribadat, mendisiplinkan dirinya lepas Maghrib sampai Isyak di tikar sembahyangnya, kemudian tidur hingga bangun jam 1.00 malam untuk beribadat sehingga naik matahari. Siang hari mengajar. Lepas zuhur sehingga jam 5.00 petang membaca kitab-kitab. Dari jam 5.00 hingga Maghrib menanam ubi dan lain-lain bentuk riadah.

      Beliau pernah diberi syahadah atau tauliah istimewa oleh Sultan Iskandar Shah Perak, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Jabatan Agama Johor yang membolehkan beliau bersyarah dan mengajar ugama di negeri-negeri tersebut./p>

      Beliau dilantik menjadi anggota mesyuarat Majlis Ugama Islam Kelantan sehingga usianya meningkat 75 tahun, kemudian berhenti kerana pandangan matanya kabur apabila berjauhan, tetapi beliau masih boleh membaca buku dan kitab.

      Beliau termasuk salah seorang anggota ulama’ yang menjadi penasihat kepada Al-Sultan, sebagaimana juga Haji Abdul Malik Sungai Pinang, Haji Awang Kenali dan lain-lain.

      Haji Omar yang banyak menaburkan jasa, baik dengan lisan atau tulisan itu telah dijemput pulang oleh Allah s.w.t pada 16 Sha’ban 1365H bersamaan 15 Julai 1946. Walaupun beliau telah meninggal dunia tetapi sempat menghasilkan berbelas-belas buah karya tulis – kebanyakannya sudah dicetak.

      Antara karya beliau yang belum dicetak ialah Zahrat al-Wardiyyah, syarah Doa Jaljalutiah (28 November 1925), Terjemahan Tafsir al-Khazin – manuskripnya hilang dan ‘Aqd Jawahir al-Fathiyyah (ilmu miqat dan qiblat).

      Manakala buku-buku yang telah dicetak ialah Kitab Jalan Sejahtera. Dicetak di Matba’ah Majlis Ugama Islam, 7 Mac 1917. Bukunya yang kedua ialah Jambangan Melayu, 31 Julai 1917. Ketiga, Pengenal Kesucian yang dikarang pada tahun 1919. Keempat, bukunya yang terbesar ialah Pelajaran Membahagi Pusaka. Kitabnya yang kelima ialah ‘Aqdul Falah, 1922. Keenam, Manhat al-Mannan, 9 September 1923 – ilmu tauhid. Ketujuh, Tazkirat al-‘Awwam, 1923. Kelapan, Miftah al-Ta’lim, 1924. Kesembilan, Syams al-Fathiyyah, 1925. Kesepuluh, Semangat Kehidupan – dicetak 1922.

    • Dato’ Haji Mohd Nor Ibrahim (1905-1987)

      Dato’ Haji Mohd Nor Ibrahim (1905-1987)

      Tokoh paling masyhur selepas Tok Kenali. Hafiz, ahli falak dan mufassir yang terkenal. Salah seorang ulama’ Kelantan yang disegani dan menjadi rujukan zamannya, malah termasuk antara ulama’ besar Semenanjung Melayu.

      Lahir di Kota Bharu pada 20hb. Ogos 1905 (bersamaan 19 Jumad al-Akhir 1323), beliau ialah putera sulung kepada Haji Ibrahim Yusuf, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua. Dari jalur sebelah ayahnya, beliau bertalian cucu saudara kepada Tok Gudang (nama sebenar Hj. Abdul Rahman bin Muhammad Ali), seorang tokoh ulama’ Patani yang terkenal, manakala dari jalur sebelah ibunya, beliau bertalian cucu sepupu kepada Tuan Padang, seorang ulama’ Kelantan yang ternama pula.

      Semasa berusia lapan tahun, beliau dibawa oleh ayahnya ke Makkah - hidup dan besar di sana. Kerana terdedah dengan corak kehidupan padang pasir yang keras dan lasak, maka beliau tumbuh menjadi seorang anak yang kuat, tabah serta gigih menghadapi cabaran hidup. Selepas terbiasa menjadi “budak Arab”, kira-kira pada usia sembilan atau sepuluh tahun, beliau pulang ke Kelantan.

      Pada tahun 1918, beliau belajar di Madrasah Muhammadiyyah, Kota Bharu, sebuah sekolah baharu yang ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Di sekolah ini, beliau termasuk dalam golongan pelajar Kelantan angkatan pertama yang mengikuti kelas bahasa Inggeris, bersama rakan-rakannya anak-anak orang atasan Kelantan seperti Nik Ahmad Kamil (kemudiannya Tan Sri Dato’) dan Tengku Mohd Hamzah bin Tengku Zainal Abidin. Kesempatan ini membolehkan beliau menguasai bahasa Inggeris dengan baik, menjadikannya sangat istimewa berbanding tokoh-tokoh ulama’ sezaman yang kebanyakannya tidak mahir berbahasa Inggeris.

      Pada tahun 1923, beliau berangkat menyambung pelajaran ke Makkah, mendalami pengajian agama di Masjid al-Haram serta berguru kepada tokoh-tokoh seperti Tok Senggora, Sheikh Nuh Jamaluddin Kelantan, Sheikh Nor Fatani, Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani, Pak Da Ail, Cher Pak Ya al-Ramani dan ramai lagi yang lain. Beliau kemudian muncul menjadi seorang tokoh yang berpengetahuan luas dalam berbagai-bagai bidang ilmu, merangkumi shari’ah, usul al-din, tafsir, hadith, falak, qiraat dan malahan tibb (perubatan). Faktor ini, ditambah dengan sifat-sifat beliau yang tegas dan berani dalam permasalahan agama dan hukum, telah menyebabkan nama beliau sangat disegani serta dihormati oleh setiap lapisan masyarakat.

      Kerjayanya yang pertama selepas pulang bermula pada 2hb. Januari 1939 apabila beliau dilantik memegang jawatan Qadhi Besar Kelantan. Kemudian, mulai 1hb. September 1941 pula, beliau menjadi Mufti Khas (Mufti Istana) kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail. Jawatan ini disandang sehingga 28hb. Oktober 1944, iaitu apabila jawatan berkenaan dimansuhkan pada masa Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim menjadi Sultan. Tidak lama kemudian, pada 1hb. April 1945, beliau menjadi guru di Jami’ Merbau al-Ismaili. Semasa mengajar di sini, beliau telah memperkenalkan matapelajaran baharu – Ilmu Miqat – ke dalam kurikulum sekolah, dengan beliau sendiri menjadi gurunya yang pertama. Di samping itu, beliau juga mengadakan beberapa pembaharuan atau pendekatan dalam pembelajaran ilmu tauhid dan tafsir. Antara murid-murid beliau yang terkemuka pada tahap ini ialah Haji Abdul Rahman bin Salleh (dalam ilmu miqat) dan Muhammad bin Che Wook (kemudiannya Dato’ Haji) dalam ilmu tauhid. Mulai dari sinilah, pelajaran ilmu miqat jadi berkembang serta menjadi matapelajaran tetap di sekolah-sekolah agama negeri Kelantan sebelum dihapuskan pada awal dekad 1970-an berikutan pelaksanaan Sistem Baru Persekolahan Agama Negeri Kelantan.

      Mulai 1hb. Mac 1949, beliau memulakan kuliah pagi di Masjid Muhammadi (antara jam 7 hingga 8), iaitu sebelum pergi mengajar di Jame’ Merbau al-Ismaili. Di masjid ini beliau mengajar kitab-kitab tafsir dan hadith seperti al-Nasafi, al-Jalalain dan Baidhawi (bagi tafsir), Mishkat al-Masabih dan Sunan Abi Daud (bagi hadith). Kedua-dua tugas di masjid dan di sekolah ini berjalan lancar sehinggalah apabila beliau meninggalkan Kota Bharu pada pertengahan 1965 kerana menerima tawaran menjadi guru perintis Kelas Tahfiz al-Quran di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

      Haji Muhammad Nor terkenal sebagai seorang guru yang berwibawa dan sangat ahli. Ditambah dengan cara penyampaiannya yang baik serta kupasannya yang terang, menyebabkan kuliah beliau sangat diminati dan diikuti ramai.

      Selepas lebih kurang dua tahun di Kelas Tahfiz al-Quran di Kuala Lumpur, beliau dipanggil pulang ke Kelantan bagi menerima pelantikan menjadi Mufti Kerajaan Kelantan yang baharu, menggantikan tempat Dato’ Haji Ahmad Maher, sahabatnya, yang meninggal dunia pada 16hb. Mac 1968. Jawatan ini mulai beliau sandang pada 1hb. Mei 1968 dan berlanjutan sehingga ke akhir hayatnya pada 13hb. Februari 1987.

      Meskipun setelah menjadi Mufti, akan tetapi jadual kuliahnya di sebelah pagi tetap berjalan. Kali ini di Masjid Saadah al-Ikhwan, Kampung Penambang, berdekatan dengan rumahnya. Di masjid ini, pada setiap hari Jumaat, ribuan murid memenuhi masjid dan luar masjid, menadah kitab yang dibacanya.

      Atas cadangannya, pada tahun 1970, Majlis Agama Islam Kelantan menubuhkan kelas Qism al-Tafaqquh fi al-Din. Menyusul selepasnya kelas Tahfiz al-Quran (1980). Kelas pertama berakhir dengan baik dan berjaya melahirkan beberapa orang murid yang berkebolehan membaca dan memahami kitab-kitab turath. Manakala untuk kelasnya yang kedua, beliau ditakdirkan meninggal lebih awal sebelum sempat melihat hasilnya (kelas ini berjalan terus selepas beliau meninggal dan berjaya melahirkan beberapa orang hafiz yang sekarang di tempatkan menjadi guru al-Quran di masjid-masjid utama dalam negeri Kelantan).

      Selain mengajar, beliau juga sempat menghasilkan beberapa buah kitab. Kitab pertama beliau, Pilihan Mastika Pada Menerang Kiblat dan Ketika (1931) ialah sebuah kitab mengenai ilmu miqat dan falak. Menyusul selepasnya kitab kedua, Bantuan Ketika (1937), mengenai ilmu fara’id atau kaedah membahagi pesaka cara Islam, dan kitab ketiga Suluhan Dar al-Naim (tanpa tarikh), mengenai qiraat al-Quran. Karya-karya beliau yang lain ialah Ramuan Rapi Dari Erti Surat al-Kahfi, sebuah kitab tafsir, terbit dalam tahun 1957 serta tiga buah buku teks dalam matapelajaran ilmu tauhid – Durus al-Tauhid – yang dihasilkan pada pertengahan dekad 1960-an, iaitu pada waktu beliau mengajar di Ma'had Muhammadi, Kota Bharu.

      Selain itu, beliau sempat menyusun Muqaddimah Mastika Hadith (1973) dan Mastika Hadith Jilid I (1974) bersama sahabatnya Dato’ Haji Ismail Yusuf (kemudiannya menggantikan tempat beliau menjadi Mufti). Kedua-dua kitab ini diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur (sekarang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

      Namun, khidmat beliau yang paling cemerlang dan terserlah ialah sumbangannya sebagai penyemak kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman yang sekarang tersebar luas di Malaysia dan di luar Malaysia. Boleh dikatakan, kitab ini menjadi sangat terkenal serta diakui sebagai sebuah kitab tafsir yang autoritatif dalam bahasa Melayu tak lain ialah kerana nama penyemaknya yang berwibawa – Dato’ Haji Muhammad Nor Ibrahim - di samping nama penerjemahnya, Sheikh Abdullah Basmih yang tidak kurang juga keahliannya.

      Menerima anugerah bintang Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Dato’ pada 10hb. Julai 1968 dan gelar Dato’ Kaya Perba pada 21hb. Mac 1980.

      Tokoh yang terkenal sangat berdisiplin, tegas serta dihormati ini meninggal dunia di rumahnya di Kampung Penambang, Kota Bharu pada 13hb. Februari 1987 (bersamaan 15hb. Jumad al-Akhir 1407), dalam usia 81 tahun lebih sedikit.

      Setahun selepas beliau meninggal, Yayasan Islam Kelantan (YIK) memilih dan mengenang jasa beliau sebagai Tokoh Pendidik pada 3hb. Julai 1988.

  • PINGAT DAN KEBESARAN

    Klik di setiap gambar untuk maklumat lanjut

    Peringkat Pertama Seri Paduka Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi I) S.P.M.K.
    Peringkat Kedua Dato' Paduka Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi II) D.P.M.K.
    Peringkat Ketiga Paduka Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi III) P.M.K.
    P.M.K. (Perempuan)
    Peringkat Pertama Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili I) S.J.M.K.
    Peringkat Kedua Dato' Paduka Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili II) D.J.M.K.
    Peringkat Ketiga Paduka Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili III) J.M.K.
    J.M.K. (Perempuan)
    Peringkat Pertama Sri Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi I) S.P.S.K.
    Peringkat Kedua Dato' Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi II) D.P.S.K.
    Peringkat Ketiga Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi III) P.S.K.
    Peringkat Keempat Bentara Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi IV) B.S.K.
    Peringkat Kelima Ahli Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi V) A.S.K.
    P.S.K. (Perempuan)
    B.S.K. (Perempuan)
    Peringkat Pertama Dato' Sri Paduka Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (Al-Petrawi I) S.P.J.K. Peringkat Ketiga Paduka Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (Al-Petrawi III) P.J.
    Peringkat Pertama Dato' Sri Paduka Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (Al-Petrawi I) S.P.J.K. Peringkat Ketiga Paduka Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (Al-Petrawi III) P.J.
    Peringkat Kedua Dato' Paduka Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (Al-Petrawi II) D.P.J.K.
    Peringkat Ketiga Paduka Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (Al-Petrawi III) P.J.K.
    Peringkat Keempat Bentara Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (Al-Petrawi IV) B.J.K.
    Peringkat Kelima Ahli Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (Al-Petrawi V) A.J.K.
    Peringkat Pertama Seri Paduka Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi I) S.P.K.K.
    Peringkat Kedua Dato' Paduka Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi II) D.P.K.K.
    Peringkat Ketiga Paduka Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi III) P.K.K.

  • WARISAN KELANTAN

    • Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad II
    • Duli Yang Maha Mulia Sultan Mansor
    • Duli Yang Maha Mulia Sultan Mansor
    • Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad IV
    • Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zainab Permaisuri Sultan Muhammad IV
    • Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad II

      Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad II

      CAP MOHOR DULI YANG MAHA MULIA SULTAN MUHAMMAD II 1259H/1843M

    • Duli Yang Maha Mulia Sultan Mansor

      Duli Yang Maha Mulia Sultan Mansor

      CAP MOHOR DULI YANG MAHA MULIA SULTAN MANSOR 1316H/1898M

    • Duli Yang Maha Mulia Sultan Mansor

      Duli Yang Maha Mulia Sultan Mansor

      CAP MOHOR DULI YANG MAHA MULIA SULTAN MANSOR 1316H/1898M

    • Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad IV

      Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad IV

      CAP MOHOR DULI YANG MAHA MULIA SULTAN MUHAMMAD IV 1322H/1904H

    • Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zainab Permaisuri Sultan Muhammad IV

      Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zainab Permaisuri Sultan Muhammad IV

      CAP MOHOR YANG MAHA MULIA SULTANAH ZAINAB PERMAISURI SULTAN MUHAMMAD IV 1334H/1915H

  • AHLI JAWATANKUASA ADAT ISTIADAT

    Pengerusi

    Yang Amat Berusaha Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

    Setiausaha

    Yang Berusaha Tuan Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

    Ahli-Ahli

    Yang Berhormat Mufti Negeri Kelantan

    YBhg. Ketua Istiadat Kelantan

    YBhg. Pengelola Istana D’Raja

    YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Hj. Abdul Karim

    YBhg. Dato’ Haji A. Aziz bin Deraman

    YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hashim bin Musa

    YABrs. Tuan Haji Muhamad bin Mahmud

    YABrs. Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur

    YABrs. Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan

    YABrs. Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Kelantan

    YABrs. Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri Kelantan

    YABrs. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan

    YABrs. Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan

Hari Ini 4 | Semalam 60 | Minggu Ini 210 | Bulan Ini 1431 | Keseluruhan 78592

Kubik-Rubik Joomla! Extensions