e-Penyelidikan
- BUKU ANTOLOGI PUISI CAKERAWALA ISLAM NUSANTARA 2022
- NASKHAH SEJARAH KELANTAN (2022)
- JATI DIRI BANGSA (2021)
- SYAIR ADAT ISTIADAT KESULTANAN MELAYU KELANTAN (2020)
- BAHASA ISTANA D’RAJA KELANTAN (2020)
- INDEK BIBLIOGRAFI KELANTAN (2020)
- GELARAN WARISAN KELANTAN (2019)
- ISTANA BALAI BESAR (2019)
- PELAJARAN TATA RAKYAT NEGERI KELANTAN (I) (2019)
- KELANTAN - PATANI (2018)
- SEJARAH KESULTANAN MELAYU KELANTAN (2017)
- HALAMAN ADAT ISTIADAT RAJA KELANTAN
- BAHASA MELAYU KELANTAN
- BEBERAPA ASPEK ADAT RESAM MELAYU KELANTAN
- KELANTAN: SEJARAH, ADAT DAN WARISAN
- SENI PIDATO TITAH UCAPAN KDYMM SULTAN MUHAMMAD V
-
BUKU ANTOLOGI PUISI CAKERAWALA ISLAM NUSANTARA 2022
“Cakerawala puisi Islam menzahirkan suara para penyair Islam pada cakupan keimanan, ketakwaan dan renungan kehidupan. Manifestasi suara ini diungkapkan indah. Sebahagian antara pemikiran, jiwa dan emosi ini mencakupi keinsafan pada Al-Khaliq, merenung iktibar alam, kasih sayang ukhwah, kepekaan jurus kemanusiaan dan kemasyarakatan. Ufuk matlamat karya ini adalah membijaksanakan pembaca, masyarakat, dan ummah pada ketauhidan, ketakwaan, ketinggian pemikiran, serta kemurniaan akhlak”
-Rosli K. Matari Penerima SEA Write Award dan Sasterawan Negeri Kelantan
“Puisi dalam buku ini mencerminkan fitrah rasa insaniah bahawa Islam itu menyukai akan keindahan. Ibarat memandang gugusan bintang-bintang di langit dan menjadikannya terasa indah bagi insan yang memandangnya. Para penyair itu seperti musafir yang sedang berkelana jauh melewati waktu siang dan malam, akhirnya menemukan bahawa Allah jua yang mengetahui tentang segala yang ghaib dan yang nyata”
-Profesor Dr. Hashim Ismail Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
-
NASKHAH SEJARAH KELANTAN (2022)
Negeri Kelantan Darul Naim, nama yang bukan asing lagi dengan sejarahnya yang begitu panjang. Sebuah negeri yang amat berbeza dengan negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung Malaysia. Perbezaan ini bukan sahaja tampak pada warna Melayu, bahkan dari segi kesultanannya, adatnya, istiadatnya, keseniannya, sosialnya, politiknya, ekonominya dan sosiobudaynya. Hal ini merupakan suatu aspek sejarah sosial Kelantan sejak zaman-berzaman. Kelantan mewarisi citra sejarah negeri yang unik dan memerihalkan tentang kesultanan Melayu yang bersilih ganti. Kesan-kesan tinggalan sejarah, nama-nama tempat pentadbiran seperti Kota Kubang Labu, Kota Pangkalan Datu, Kota Mahligai dapat dirakamkan sehingga kini. Makam-makam pula misalnya, Makam Long Deraman, Makam Raja Abdullah, Makam Nang Chayang, Makam Diraja Langgar dapat dilihat sampai sekarang.
Buku Naskah Sejarah Kelantan ini dibangunkan melalui teks bercetak tulisan Jawi yang melibatkan empat naskhah iaitu:
- NASKHAH PERTAMA: Ringkasan Cetera Negeri Kelantan dikarang oleh Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud Nik Ismail, pada tanggal 8 Ramadan 1351H/4 Januari 1933, terbitan Al-Matba’ah al-Asasiah Kompeni, Kota Bharu, Kelantan
- NASKHAH KEDUA: Ringkasan Sejarah Kelantan, dikarang oleh Ariffin Abdul Rashid, pada tahun 1962, terbitan Al-Ahliyyah Press, Kota Bharu, Kelantan
- NASKHAH KETIGA: Sejarah Kelantan dikarang oleh Asaad Shukri Haji Muda, pada Jamadilawal 1382H/Oktober 1962, terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan
- NASKHAH KEEMPAT: Kelantan dari Zaman ke Zaman, dikarang oleh Muhamad Hussin Khal’ie Haji Awang, pada tahun 1970, terbitan Syarikat Dian Sdn. Bhd Kota Bharu Kelantan
Naskhah-naskhah ini ditransliterasi dan anotasi oleh pengkaji. Diharapkan buku ini dapat dimanfaatkan sebagai suatu nilai yang tinggi dalam merakam sejarah bangsa dan tanah air, serta menjadi sumber rujukan yang berautoritatif pada hari muka.
-
JATI DIRI BANGSA (2021)
Buku ini menerangkan isu jati diri bangsa sering menjadi persoalan di kalangan para pemikir peradaban bangsa di Malaysia. Isu-isu pasca modenisme, globalisasi dan liberalisasi dikatakan ikut menghimpit peradaban manusia pada zaman universalisme alaf baru ini. Pancaroba abad ke-21 menyerlahkan akal budi masyarakat Malaysia yang bercampur baur dalam acuan kecelaruan dan kekeliruan. Sesudah beberapa dekad kemerdekaan,negara semacam masih tidak menemui kekukuhan jati diri bangsanya, ada kemalapan identiti dan kelunturan keperibadian nusa. Penulis cuba mencari kenapa fenomena sedemikian terjadi. Apakah kerana rakyat Malaysia itu buta sejarah dan tidak celik budaya peradaban bangsa?.’Jati Diri Bangsa’ bukan sekadar untuk dimengerti takrifnya, tetapi bagaimana kedudukan semangat patriotisme bangsa Malaysia, penghayatan aspirasi Perlembagaan, permikiran budaya, status bahasa, isu pendidikan, amalan nilai-nilai budaya murni,aspek kesenian, citra keislaman dan kemelayuan, sikap generasi muda dan bagaimana situasi Malaysia dalam dunia global. Beberapa imbaun terhadap usaha menegakkan keperibadian bangsa, matlamat perpaduan dan keseimbangan kehidupan kemanusiaan dengan pembangunan moden Malaysia dilontarkan dalam teks ini bersandarkan falsafah dan pemikiran tentang kehidupan berbangsa dan bernegara.
-
SYAIR ADAT ISTIADAT KESULTANAN MELAYU KELANTAN (2020)
Buku ini mempersembahkan susunan adat istiadat yang diamalkan dalam Kesultanan Melayu Kelantan yang menjadi lambang warisan kesultanan Melayu di negeri Kelantan dan inti patinya berasaskan buku Halaman Adat Istiadat Raja D’Raja Kelantan. Mengandungi 16 bahagian, buku ini merangkumkan keseluruhan adat istiadat penting warisan raja-raja Melayu di negeri Kelantan. Istimewanya buku yang mengandungi sejumlah 2069 rangkap ini diolah kritis oleh 23 orang penulis Kelantan yang berpadu pemikiran menggarap persembahan dalam bentuk pemikiran kreatif yang berseni, iaitu dalam bentuk syair. Persembahan dalam bentuk syair ini melambangkan ketinggian akal budi dan penciptaan tinggi yang berseni lagi indah, dan sekali gus memaparkan keunikan dan keistimewaan Kelantan sebagai salah sebuah negeri yang berdaulat dan kaya dengan seni budaya dan warisan di Malaysia.
-
BAHASA ISTANA D’RAJA KELANTAN (2020)
Demi menimbulkan kesedaran tentang kegemilangan warisan Melayu Kelantan, maka penerbitan buku “Bahasa Istana D’Raja Kelantan: Mercu Kegemilangan Budaya” ini dilihat tepat pada masanya. Buku yang memperincikan keunikan bahasa istana D’Raja Kelantan ini dapat dijadikan rujukan, bacaan dan pemahaman masyarakat dan pengguna umum. Buku ini ditulis dengan susunan permulaan mengenai sejarah ringkas kesultanan Kelantan, diikuti huraian tentang bahasa orang Kelantan. Seterusnya dihuraikan peranan dan pengaruh bahasa istana dalam menjadi pemersatu antara golongan diraja sebagai pemerintah dan golongan rakyat jelata sebagai yang diperintah. Sebagai tumpuan utama penulisan, huraian tertumpu kepada penyenaraian perbendaharaan kata khusus dalam bahasa istana Kelantan serta beberapa aspek penggunaan loghat Kelantan. Selain itu, bagi memenuhi objektif penulisan buku ini, gelaran-gelaran khas atau utama yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan turut disentuh secara sepintas lalu.
-
INDEK BIBLIOGRAFI KELANTAN (2020)
Buku setebal 303 halaman ini dihasilkan oleh Ustaz Abdul Razak bin Mahmud, merupakan Editor Buku Umum di MAIK dan Baharin Ilias, yang merupakan Pegawai Adat Istiadat, MAIK. Buku Indeks Bibliografi Kelantan ini merupakan satu usaha daripada penulis untuk merakam atau mengesan tulisan-tulisan mengenai Kelantan yang pernah dihasilkan setakat ini. Ia menghimpunkan tulisan-tulisan berkenaan Kelantan yang terhasil daripada buku-buku, majalah, jurnal, tesis, buletin, akhbar dan sebagainya. Kandungan buku ini mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama adalah Indeks Penulis dan bahagian kedua ialah Indeks Judul. Dilampirkan juga di dalam buku ini beberapa gambar kulit buku terpilih untuk tatapan pembaca.
-
GELARAN WARISAN KELANTAN (2019)
Negeri Kelantan termasyhur dengan nama-nama gelaran warisan unik yang menjadi citra kepada budaya dan masyarakat negeri ini. Nama-nama gelaran warisan yang unik itu ialah ‘Nik, Wan, Che/Chek, Long, Neng, dan Tuan’, di samping nama-nama gelaran yang dikongsi juga oleh negeri-negeri Melayu yang lain, misalnya ‘Tengku, Engku, Ku, dan Raja’. Nama-nama gelaran warisan itu didapati mempunyai sejarah asal usul yang panjang dan amat menarik. Dalam kajian ini, asal usul nama-nama gelaran itu dapat ditelusuri daripada sejak awal sejarah negeri Kelantan dan hubungannya dengan kerajaan Patani dan Campa. Kini terdapat persoalan sama ada nama-nama gelaran warisan itu dapat dipertahankan atau tidak. Tentu sekali nama gelaran Tengku dan Raja dapat dipertahankan kerana selagi ada keluarga diraja dan golongan istana, maka nama-nama gelaran itu akan terus dikekalkan oleh mereka dan keturunan mereka. Namun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga gejala pengguguran nama gelaran itu disebabkan oleh faktor perkahwinan, perpindahan, pendidikan, faktor sosial, faktor ekonomi dan faktor keselamatan, seperti yang dibuktikan oleh kajian ini.
-
ISTANA BALAI BESAR (2019)
“Istana Balai Besar adalah puncak kegemilangan warisan zaman pemerintahan Sultan Muhammad II yang masih dapat disaksikan sehingga sekarang. Ia menjadi monumen sejarah sekaligus warisan seni pertukangan Melayu Kelantan yang sangat kaya, indah dan kreatif. Betapa pentingnya bangunan ini dapatlah dilihat apabila bangunan ini yang siap dibina pada 1845 telah diambil bagi menjadi titik awal sejarah pertumbuhan bandar Kota Bharu yang berkembang sehingga saat ini...”
“Salah satu nilai kebudayaan tertinggi Kelantan adalah sistem pemerintahan beraja, satu-satunya warisan kebudayaan Melayu yang melambang dan menaungi kehidupan agama dan budaya luas. Buku ini merupakan satu dokumen penting dalam memartabatkan Institusi D’Raja Kelantan”
“Penulisan buku ini amat menarik. Pengalaman unik Istana Balai Besar mengembalikan semula suasana memori silam yang menjadi kebanggaan rakyat negeri Kelantan dan Malaysia umumnya”
-
PELAJARAN TATA RAKYAT NEGERI KELANTAN (I) (2019)
Sebuah buku yang dijadikan satu mata pelajaran kurikulum di sekolah di bawah Kelolaan Yayasan IslamKelantan. Buku Tata Raykat (I) ini berkisar tentang Kesultanan Melayu Kelantan yang kekal hingga ke hari ini. Buku ini akan memberi penerangan kepada setiap lapisan masyarakat sama ada di Malaysia umumnya dan Kelantan khasnya dalam bentuk yang mudah, ringkas dan relevan untuk tatapan dan penyelidikan. Buku ini juga mempunyai gambar berwarna bagi menjelaskan sesuatu fakta, peristiwa dan tempat. Penyediaan buku ini merupakan idea daripada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan agar rakyat Baginda dapat mempelajari sejarah Kelantan dengan baik dan dapat menanamkan sikap cinta akan negeri khasnya dan negara umumnya supaya identiti kita akan kekal untuk selamanya.
-
KELANTAN - PATANI (2018)
Buku ini mengandungi sejumlah 15 buah makalah seminar mengenai Kelantan – Patani yang dibentang dalam berbagai seminar dalam dan luar negeri, dalam tempoh antara tahun 2000 hingga 2017. Terkandung dalam buku ini ialah hal – hal mengenai sejarah dan budaya Kelantan – Patani, merangkumi politik, kebangkitan ulama, peranan institusi pengajian Islam tradisional (pondok), kegiatan intelektual atau keilmuan, dan malah merambah kepada soal – soal bahasa, sastera dan persuratan juga.
-
SEJARAH KESULTANAN MELAYU KELANTAN (2017)
Buku Sejarah Kesultanan Melayu Kelantan ini merupakan koleksi atau himpunan kertas kerja Seminar Sejarah Kesultanan Melayu Kelantan yang telah diadakan di Laman Monsun, Universiti Malaysia Kelantan. Rakaman episod-episod sejarah dalam buku ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan susur galur sejarah Kesultanan Melayu Kelantan. Selain itu, perbincangan mengenai peranan dan sumbangan sultan-sultan Kelantan dalam pembangunan negeri, di samping sebagai platform pemindahan ilmu kepada umum. Ia juga bertujuan memelihara dan mengembangkan sejarah dan adat warisan Melayu Kelantan agar dapat diketengahkan untuk pengetahuan masyarakat dalam negeri Kelantan khasnya dan Malaysia amnya.
-
HALAMAN ADAT ISTIADAT RAJA KELANTAN
Buku ini merupakan satu dokumen penting dalam mencatat Adat Istiadat D’Raja Kelantan sejak zaman silamnya. MAIK memandang perlunya perkara ini didokumentasi sebagai khazanah warisan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Walaupun ada beberapa upacara dalam istiadatnya yang tidak sesuai dengan ajaran Islam dan telah ditiadakan, namun ianya penting sebagai dokumen sejarah bagi peringatan generasi kini dan terkemudian.
“Dengan tujuan supaya “Adat Istiadat Melayu Kelantan” yang dahulu-dahulu pada semua peringkatnya, mulai daripada peringkat raja-raja pemerintah hingga kepada golongan orang ramai atau rakyat, itu tinggal kekal selama-lamanya dan tidak menjadi hilang bersama-sama dengan hilangnya orang tua-tua kita yang mengetahui dalam bahagian itu, maka adalah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dengan ampuni Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan, telah menubuhkan suatu jawatankuasa bagi mengesahkan butir-butir Adat Istiadat Melayu (Kelantan) yang dipungut dan disusunkan oleh seorang setiausahanya yang khas serta membuat pengesyoran akan mana-mana bahagian “adat istiadat” yang telah disahkan itu bagi timbangan Mesyuarat Majlis Agama Islam supaya boleh diatur jadikan sebuah buku mengandungi “Adat Istiadat Melayu Kelantan” yang sebenar lagi sempurna.
-
BAHASA MELAYU KELANTAN
Demi menghidupkan kembali perkataan-perkataan khusus dalam loghat Melayu Kelantan berserta maknanya, maka penerbitan buku “Loghat Melayu Kelantan: Menggali Ilmu Menyusur Warisan” ini dilihat tepat pada masanya. Buku yang menghimpunkan sebanyak 1,094 patah perkataan dan ungkapan eksklusif loghat Melayu Kelantan ini boleh dijadikan rujukan, bacaan dan pemahaman masyarakat dan pengguna umum.
Buku ini disusun dalam format sebuah kamus kecil, iaitu yang diberikan makna serta contoh ayat menunjukkan penggunaan perkataan-perkataan loghat tersebut dalam pertuturan masyarakat Melayu di Kelantan.
Sebagai tambahan, golongan kata perkataan-perkataan yang disenaraikan juga diberikan. Bahan ini sangat berharga kepada masyarakat dan pengguna umum dalam usaha memelihara nilai ilmunya. Penerbitan buku tentang ungkapan eksklusif loghat Melayu Kelantan yang digunakan dalam pertuturan masyarakatnya sejak zaman-berzaman ini sangat penting kerana jika tidak diusahakan, mungkin ungkapan-ungkapan ini tidak lagi difahami oleh generasi pada masa sekarang dan akan datang.
Usaha penerbitan buku ini diharap dapat membantu masyarakat Melayu menerokai semula segala khazanah yang semakin dilupakan itu. Di samping itu, kajian ini juga merupakan usaha para pengkaji untuk melestarikan kembali loghat Melayu Kelantan, iaitu khazanah agung yang menjadi sebahagian daripada warisan jati diri masyarakat Melayu Kelantan. Selain itu, ini selaras dengan hasrat MAIK yang melihat betapa perlunya khazanah ini dikaji dan didokumentasikan demi mengekal Warisan Melayu Kelantan.
-
BEBERAPA ASPEK ADAT RESAM MELAYU KELANTAN
Beberapa Aspek Adat Resam Melayu Kelantan merakamkan rencam adat resam masyarakat Melayu tradisional negeri Kelantan. Dalam buku ini dijelaskan bagaimana masyarakat Melayu tradisional menerima, mempelajari dan menghayati sikap dan kelakuan, nilai dan norma yang diterima dari satu generasi ke satu generasi yang lain, sebelum merealisasikannya dalam bentuk adat yang mencerminkan warisan dan budaya masyarakatnya.
Buku ini mengandungi sejumlah adat resam utama dalam “kitaran hidup” seorang manusia, berawal dengan adat kelahiran (malah sejak dalam kandungan lagi), diikuti adat-adat seperti bertahnik (belah mulut), aqiqah, berkhitan, khatam al-Quran, perkahwinan dan berakhir dengan kematian. Walaupun di sana masih terdapat beberapa adat kecil-kecilan yang lain, seperti adat menaiki rumah baharu, adat bersawah (biasanya sebelum turun ke bendang), adat bepergian jauh (biasanya sebelum turun untuk menunaikan ibadat haji) dan lain-lain, namun fokus buku ini adalah terbatas kepada adat-adat utama sebagaimana yang digariskan di atas.
Walaupun hanya “beberapa aspek” - tidak menyeluruh atau rinci - namun penerbitan buku ini diharapkan dapat sedikit sebanyak mengungkapkan beberapa aspek adat resam Melayu yang pernah atau masih diamalkan dalam masyarakat awam negeri Kelantan.
-
KELANTAN: SEJARAH, ADAT DAN WARISAN
Keunikan citra Kelantan sudah menjadi sebutan umum seantero dunia. Sejarahnya boleh ditelusuri sejak dari zaman prasejarah lagi dan perkembangan zaman ke zamannya boleh sahaja diketengahkan dalam semua bidang. Usaha-usaha penyelidikan, pendokumentasian dan penerbitan menuntut kerja-kerja yang berterusan. Buku ini mengandungi sejumlah tulisan yang dapat dimanfaatkan bagi sesiapa jua untuk mengetahui sejarah, adat dan warisan Kelantan. Keluasan citra istimewa Kelantan itu merangkumi pelbagai aspek khususnya dalam tradisi pemerintahan raja-raja dan kesultanan Melayu, pengajian Islam dan peranan tokoh-tokoh ulama di bidang keagamaan, sejarah sosial dan budaya, kegiatan ekonomi, persuratan, kesenian termasuk seni tekstil, seni persembahan, seni bina dan adat istiadat Melayu Kelantan. Mengenali Kelantan maknanya seseorang itu akan mengenali Malaysia dan sebahagian daripada warisan besar peradaban Melayu timur laut.
-
SENI PIDATO TITAH UCAPAN KDYMM SULTAN MUHAMMAD V
Buku ini merupakan buku pertama seumpama ini yang menghuraikan pengucapan titah seorang Sultan dari segi seni pidato atau retorik demi peningkatan keberkesanan mesej dan amanat yang hendak disampaikan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi negeri Kelantan, telah menggunakan seni retorik deskriptif, eksposisi dan ekspresi dalam penyampaian amanat Baginda. Selain itu buku ini juga menganalisis pemikiran Kebawah Duli Baginda tentang isu-isu dalam negeri Kelantan, iaitu tentang ekonomi, pertanian, pelancongan, infrastruktur, pendidikan, belia dan sukan, kesihatan dan isu perpaduan. Buku ini juga menghuraikan pengesyoran Kebawah Duli Baginda tentang pelan transformasi ummah, iaitu merangkumi kosep faqihan, aminan, rahiman, ilman dan salaman. Melalui buku ini juga para pembaca akan dapat menyelami buah fikiran Kebawah Duli Baginda dan juga ketokohan Baginda sebagai seorang pemidato yang berwibawa.