Dato' Laksamana

Hj. Muhammad bin Khatib Hj. Mohd Said (1888-1939)

Hj. Muhammad bin Khatib Hj. Mohd Said (1888-1939)

Lahir pada 30hb Januari 1888 di Kampung Dalam Kubu, Kota Bharu, Kelantan. Nama sebenarnya ialah Haji Muhammad bin Haji Muhammad Said. Ayahnya Haji Muhammad Said Khatib bin Haji Jamaluddin adalah seorang Khatib dan Hakim Mahkamah Tanah semasa pemerintahan Sultan Muhammad IV.

Muhammad mendapat pendidikan awal di bawah kelolaan ayahnya sendiri iaitu mempelajari agama dan beberapa kali khatam al-Qur’an. Pada tahun 1902, beliau belajar di Mekah dan gurunya semasa di sana ialah Syeikh Nik Mat Kecik dan Syeikh Wan Ali Kutan. Selain belajar di Mekah, beliau sempat juga belajar di Mesir selama empat tahun. Beliau menerima semangat baharu daripada pengajaran Syed Jamaluddin al-Afghani dan Syekh Muhammad Abduh. Semasa di sana, beliau sempat menulis kitab Al-Fawaid al-jammah dan Al-Fawakih al-syahiah. Pulang ke Kelantan, pada tahun 1914.

Pada tahun 1915, Muhammad bersama-sama Dato’ Paduka Nik Mahmud Ismail dan Syeikh Muhammad Yusuf Ahmad al-Kenali menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), dan dia dilantik sebagai Setiausaha. Dengan inisiatif dan sokongan kerajaan Kelantan, pada tahun 1917, Madrasah al-Muhammadi dibina di bawah MAIK. Pada tahun yang sama, Masjid Muhammadi dibina. Beliau menyandang jawatan sebagai Setiausaha MAIK dari tahun 1915 hingga tahun 1919. Beliau menjadi daya penggerak dan pembina kepada pentadbiran organisasi tersebut. Pada Julai 1918, Muhammad menjadi ketua pengarang Majalah Pengasuh, lidah rasmi MAIK. Beliau melantik Abdul Kadir Adabi, Hasan Haji Omar dan Haji Wan Mahmud Wan Daud sebagai penyunting. Pada tahun 1920, dia juga menjadi ketua pengarang Majalah Al-Kitab. Pada tahun 1921 pula, Muhammad menyusun undang-undang tentang gelaran kebesaran kerajaan Kelantan. Sebagai penulis dan wartawan yang kreatif, pada tahun 1922, beliau menulis sebuah novel berjudul Kecurian Lima Milion Ringgit, iaitu penulis novel yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu. Antara karya lain yang pernah dihasilkan ialah Rampai-rampaian, 2 penggal (1922), Al-Fawaid al-Jammah, Al-Fawakih al-Syahiah, Al-Fawaid al-Zahirah, Hijab al-Absar dan Al-Thamarat al-Mutala’ah.

Pada tahun 1925, Muhammad dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Kelantan dan pada tahun yang sama beliau memangku jawatan Perdana Menteri Kelantan. Pada tahun 1929, sekali lagi beliau memangku jawatan tersebut. Pada tahun 1933, beliau meletak jawatan. Sebagai mengenang jasa dan khidmatnya yang cemerlang, Muhammad dianugerahkan gelaran Datuk Bentara Jaya pada tahun 1918, dan gelaran Datuk Laksamana pada tahun 1921. Muhammad meninggal dunia pada 20hb. Mac 1939.

Hari Ini 26 | Semalam 58 | Minggu Ini 340 | Bulan Ini 1102 | Keseluruhan 79891

Kubik-Rubik Joomla! Extensions