Tok Kenali

Haji Muhammad Yusof Bin Ahmad (1879-1933)

Haji Muhammad Yusof Bin Ahmad (1879-1933)

Nama sebenarnya ialah Haji Muhammad Yusof bin Ahmad. Lahir di Kubang Kerian, Kelantan. Beliau terkenal dengan nama Tok Kenali, dan juga Haji Awang Kenali. Mendapat pendidikan awal di Kota Bharu, berguru dengan Tuan Tabal @ Haji Abdul Samad, Haji Ismail Kadi, Haji Abdullah Pasir Pekan, Haji Awang @ Muhammad Zain Atas Banggol, Haji Nik Abdullah, Haji Nik Wan Daud, Haji Wan Tamat Lundang, Haji Abdul Malik Sungai Pinang dan Haji Pak Chik Musa.

Pada akhir tahun 1887, Tok Kenali melanjutkkan pelajaran ke Mekah. Antara gurunya di sana ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani, Syeikh Muhammad Hasbullah, Sayyid Bakri Syata, Syeikh Muhammad bin Yusof al-Khayyat, Syeikh ‘Abid (Mufti al-Hanafiah) dan Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabawi. Pada pertengahan tahun 1904, dia mengiringi gurunya Syeikh Wan Ahmad berkunjung sambil belajar ke Mesir, Syria dan tempat-tempat lain di Timur Tengah. Pada awal tahun 1909, dia pulang ke tanah air lalu membuka sekolah pondok di Kampung Paya kemudian mengajar di Masjid Besar Kota Bharu (kini Masjid Muhammadi) sebelum berpindah ke Kampung Belukar mengajar Tatabahasa Arab, Tafsir al-Qur’an, Tauhid, Fikah, Tasawuf, Ilmu Kerohanian dan Perubatan. Pondok di Kampung Paya dan Belukar ini terletak dalam Mukim Kenali, lalu kedua-duanya disebut sebagai Pondok Kenali.

Tok Kenali juga bergiat cerdas dalam kegiatan pentadbiran dan kemasyarakatan. Beliau mempelopori penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (1915) serta menjadi anggotanya; Anggota Jemaah Ulama MAJLIS (1918), pengasas dan pengarang kehormat, juga selaku penasihat kepada penerbitan Majalah Pengasuh (1918), perintis al-Jami’iyyah al-‘Asriyyah di Kota Bharu (1924), Penolong Mufti (1929), menterjemah sebahagian Tafsir al-Khazin dan kitab al-Umm (1929/1930), Ketua Pelajaran Agama di Masjid Muhammadi dan Madrasah al-Muhammadiah (Januari 1931 sehingga Februari 1933). Tulisannya banyak tersiar dalam Pengasuh dan Al-Hidayah.

Tok Kenali amat berpengaruh dalam masyarakat Kelantan khasnya, dan Kepulauan Melayu umumnya. Hal ini dapat dilihat menerusi sumbangan dan kejayaan beliau dalam melahirkan angkatan ulama’, pendakwah dan intelektual yang mempunyai keahlian dalam pelbagai bidang pengajian di Asia Tenggara pada pertengahan abad ke-20. Antaranya ialah Haji Abdullah Tahir Bunut Payong; Haji Ali Salahuddin Pulau Pisang; Syeikh Uthman Jalaluddin Seberang Perai; Syeikh Anjon Asahan, Sumatera Timur; Haji Yaakub Legor Thailand; Dato’ Haji Ahmad Maher al-Azhari, (Mufti Kerajaan Kelantan); Dato’ Haji Ismail Yusuf (Mufti Kerajaan Melaka); dan Dato’ Haji Hasan Yunus (Menteri Besar Johor).

Tok Kenali meninggal dunia pada 19hb. November 1933 ketika berusia 65 tahun dan dimakamkan di Kubang Kerian, Kelantan. Sebagai memperingati jasanya, Tok Kenali mendapat penghormatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai tokoh Ulama Silam (1977/1978)

Hari Ini 32 | Semalam 50 | Minggu Ini 206 | Bulan Ini 1378 | Keseluruhan 80167

Kubik-Rubik Joomla! Extensions